USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

THE MUSIC EVOLUTION KUMPUL DANA BANTU GOLONGAN OKU

konsert45

USM, KUBANG KERIAN, 19 November 2016 – Malam Konsert Amal Simfoni Orkestra Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan (USMKK) yang bertemakan ‘The Music Evolution’ berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama dengan kehadiran hampir 900 orang penonton.

Konsert amal anjuran Kelab Muzik USMKK, Unit Simfoni Orkestra bertujuan mengumpul dana bagi membantu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

Menurut Pengarah Konsert ini, Toh Paul Ron, aktiviti sebegini merupakan usaha untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam komuniti selaras dengan teras APEX yang menggalakkan penyertaan aktif pelajar.

konsert79

“Setengah daripada dana yang dikumpul akan disalurkan kepada pihak YOKUK dalam membantu mereka menjalankan terapi muzik untuk membantu orang kurang upaya (OKU) daripada segi psikologi dan perkembangan motor selain turut membantu membeli peralatan-peralatan muzik yang diperlukan dalam terapi muzik,” katanya.

Tambah Paul Ron, penganjuran konsert besar seperti ini dapat mengasah bakat pelajar dalam pengurusan acara sekaligus memberi peluang mempelajari cara penganjuran sesebuah konsert, bekerja dalam satu pasukan dan pada masa yang sama, memimpin dalam sebuah organisasi serta melatih kemahiran insaniah mereka.

untitleddfgdf

“Selain itu, mereka juga dapat mengasah bakat seni yang ada melalui gabungan seni lakonan, nyanyian, tarian serta bermain alat muzik yang berbeza untuk memberi satu persembahan yang unik dan istimewa,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, melalui konsert ini pihaknya dapat menyampaikan informasi dan pengetahuan kepada komuniti tentang perkembangan muzik sepanjang zaman menerusi persembahan mereka.

“Para penonton turut disajikan dengan  persembahan beberapa lagu klasikal dan moden oleh pelajar serta turut dibantu oleh beberapa pemain alat muzik nasional bagi meningkatkan taraf kualiti persembahan.

Antara lagu yang dipersembahkan mengikut zaman ialah Canon In D, Arrival Of The Queen Of Sheba, Minuet In G, William Tell Overture, Konsert In C Haydn, The Sleeping Beauty Waltz dan Pirates Of The Caribbean.

untitleddfg

Selain itu, pasukan pancaragam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa dan Perak-Ipoh Filharmonik Orkestra serta wakil daripada YOKUK turut membuat persembahan. Hadir merasmikan konsert ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif YOKUK, Datin Nik Ruziah Nik Mohd Saleh dan Penasihat Kelab Muzik USMKK, Dr. Garry Kuan Pei Ern.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Mohd Ridzuan Ramly

  • Created on .
  • Hits: 1022

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024