USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSADA USM TANAM KESEDARAN PENJAGAAN KESIHATAN KEPADA MASYARAKAT FELDA

untitledfbfv

USM, PULAU PINANG, 16 November 2016 - Sekretariat Permuafakatan Siswa/i FELDA (PERSADA) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan Program Jelajah Menyemai Bakti (We Care) bersama masyarakat FELDA Gunung Bongsu, Kulim Kedah, dengan penglibatan sama dari pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM.

Menurut Yang Dipertua PERSADA, Mohd Asri Razali, objektif program ini adalah memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat secara face-to-face kerana selama ini kita hanya melihat promosi kesihatan melalui media-media elektronik sahaja dan jarang sekali kita melihat nasihat yang diberikan secara konsultasi percuma kepada golongan ini.

"Kami tampil menyampaikan ilmu yang berguna untuk dimanfaatkan kepada masyarakat di samping mendalami kesusahan yang dialami masyarakat ini untuk mendapatkan khidmat rawatan kesihatan dan antaranya, kami dapat melihat kepayahan sebuah keluarga yang tiada pengangkutan untuk ke hospital kerana jarak kawasan perumahan yang jauh ke pedalaman dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan daripada farmasi terdekat sahaja," jelas pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.

untitledgn

Jelas lanjutnya, sekretariat juga mengelilingi kampung dan mengenali sosioekonomi masyarakat iaitu salah satu langkah untuk mempromosi penjagaan kesihatan serta juga mengadakan pemeriksaan dan memberi konsultasi kesihatan untuk masyarakat di situ secara percuma.

"Kami juga gembira dapat membantu memberi ilmu berkaitan kepentingan pendidikan dan kesedaran kesihatan kepada masyarakat dari golongan muda dan tua justeru dapat menanamkan sikap sayangi kesihatan dalam diri setiap masyarakat ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Projek We Care,  Muhamad Noor Syafiq Omar memberitahu, pihak PERSADA juga memberi sumbangan alat kesihatan iaitu (blood pressure monitor) untuk kegunaan belia di FELDA tersebut yang juga melambangkan simbolik penubuhan Skuad Belia Sihat di sana yang diketuai Pengerusi Belia FELDA Gunung Bongsu, Muhamad Ruslan yang juga bertindak sebagai pemantau dan menjadi agen promosi kesihatan di FELDA tersebut.

untitledgbng

"Rata-rata masyarakat FELDA berterima kasih atas usaha yang dijalankan dan kini yakin penjagaan kesihatan yang baik mampu direalisasikan serta pencegahan daripada penyakit-penyakit tertentu dan mereka sangat berharap agar aktiviti seperti ini dijalankan selalu," katanya.

Seramai 25 orang pelajar PERSADA dan PPSF terlibat dalam program seharian ini yang turut mendapat sedikit suntikan penajaan dari iM4U.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: PERSADA USM

  • Created on .
  • Hits: 1157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024