USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM TITIPAN MEMORI RAI PERSARAAN PENGARAH KAMPUS, KAMPUS KESIHATAN USM

untitleddfgfbdf

KOTA BHARU, 15 November 2016 – Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed yang bersara wajib secara rasmi sebagai penjawat awam pada 14 November 2016 setelah hampir 33 tahun berkhidmat diraikan dalam satu majlis khas malam tadi di Hotel Renaissance di sini.

Sejarah perkhidmatan cemerlang Mafauzy bermula sejal awal penubuhan Kampus Kesihatan USM pada tahun 1983, dengan kerjaya beliau sebagai Pegawai Perubatan Siswazah. Pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Dekan pada tahun 1995.

Mafauzy kemudian dilantik sebagai Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang kedua pada tahun 2001.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Mafauzy melahirkan harapan yang segala perancangan strategik sebelum ini dapat direalisasikan agar USM terus cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Mulai tahun ini kita akan memulakan gerak kerja baru bagi strategi 2016-2020 dengan banyak inisiatif yang dicadangkan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi (PPPM-PT).

untitledhbhj

“Saya berharap kepemimpinan baru selepas ini akan meneruskan segala agenda strategik yang telah diusahakan mahu pun dirancang dengan membantu universiti menjana kewangan serta memastikan nama USM sentiasa segar dan masyhur di persada antarabangsa,” kata Mafauzy.

Mafauzy menzahirkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi universiti dan seluruh warga USM kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk sama-sama memacu kecemerlangan USM.

Majlis itu turut meraikan Ulang Tahun Kelahiran beliau ke-60 dihadiri oleh ahli keluarga dan hampir 600 orang warga Kampus Kesihatan.

Yang hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Gabenor Universiti, YM Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; dekan-dekan serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1111

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024