USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONSERT ORKESTRA CINA USM 2016 KETENGAH BAKAT BAHARU

 untitledcvc

PULAU PINANG, 12 November 2016 - Konsert Sekretariat Orkestra Cina Universiti Sains Malaysia (USM) buat kali ini menampilkan bakat-bakat baharu dari kalangan pelajar USM mempersembahkan seni muzik tradisional Cina.

Konsert bertemakan "The Odeum" melambangkan melodi dan berkait rencah kehidupan manusia, buat julung kalinya mengetengahkan bakat-bakat muda mengalun muzik tradisional Cina, telah mempersonakan 2,000 penonton yang hadir di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) hari ini.

untitledxcx

Konsert selama dua jam itu turut menampilkan alunan pelbagai alat muzik tradisional Cina yang jarang digunakan zaman ini bertujuan mempromosikan keunikan budaya Cina di Malaysia.

Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi (BPI) USM, Profesor Dr. Puah Kia Kien berkata, perkembangan ini memberi kesan positif kepada generasi kini yang mungkin sudah melupai seni tradisional Cina.

"Saya amat mengharapkan projek Sekretariat Orkestra Cina seperti ini dapat memperkenalkan seni muzik masyarakat Cina dan keunikan budaya Cina dengan lebih meluas, malah dapat mencungkil bakat baharu seperti konsert malam ini terutamanya dalam kalangan warga USM,” katanya.

 DSC7307

Bercakap pada ucapan perasmian, beliau turut menggesa projek seperti ini diteruskan dan dikekalkan agar generasi muda lebih mengenali dan menghargai tradisi nenek moyang yang diwarisi.

Yang turut hadir Pegawai Kebudayaan Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEPA) USM merangkap Penasihat Sekretariat Orkestra Cina USM, Zulkifli Che Hussin; Presiden Sekretariat Orkestra Cina, Tan Shaur Qian; Pengarah Projek, Wee Jia Leng; wakil-wakil penaja konsert dan pegawai-pegawai utama Universiti.

 DSC7354

 DSC7393

Tambah Puah, dengan bakat baharu yang ada kini, beliau berharap Sekretariat Orkestra Cina ini akan menempa kejayaan demi kejayaan seterusnya mengharumkan nama USM keseluruhannya.

"Saya bagi pihak USM amat berbangga dengan kejayaan Sekretariat baru-baru ini telah berjaya meraih 'Gold with Honours Award' dalam National Chinese Orchestra Ensemble Competition (Open Category) of UTP-Huazong National Music Art Championship Red Sonata Fiesta 2016."

 DSC7322

Sekretariat Orkestra Cina USM merupakan persatuan muzik tradisional Cina ditubuhkan pada 5 Oktober 2009 yang memperjuangkan muzik tradisional Cina serta membangunkan semangat cintakan kebudayaan Cina dalam kalangan pelajar USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1574

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024