USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK KELULUT CIC USM DAN NCIA TERUS MAJU

untitledxcfb

KUBU GAJAH, 12 November 2016 - Pelajar Program Siswa Lestari 3 "Masyarakat dan Negara" (PSL3) kelmarin telah menjalankan satu aktiviti bersama peserta Projek Ternakan Kelulut CIC Kubu Gajah dan membantu peserta projek tersebut memasang plastik pelindung untuk 75 sarang lebah kelulut Mustafa-Hive sebagai langkah persediaan menghadapi musim hujan lebat.

Pemasangan plastik pelindung ini sebagai inisiatif untuk mengurangkan binaan kotak sarang lebah kelulut Mustafa-Hive menerima tempias hujan.

Aktiviti ini turut dihadiri oleh Pengerusi KTP Profesor Dato’ Dr. Omar bin Osman, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Penyelaras Pusat Inovasi Komuniti Syed Yusof bin Syed Kechik dan Pegawai NCIA En. Fauzan bin Ismail yang seterusnya melawat tapak Projek Ternakan Kelulut CIC Kubu Gajah.

Program CIC merupakan program usahasama USM dan NCIA yang juga merupakan roll-out daripada Program Pemindahan Ilmu dan matlamat utama CIC ialah membudayakan inovasi dari komuniti iaitu kekuatan yang belum diterokai dan bermanfaat serta berpotensi untuk diketengahkan.

Program ini dilaksanakan secara Collective Impact berpaksikan pendekatan Quadruple Helix dan tempoh jangkamasa pelaksanaan program ialah 2 tahun dengan sasaran 8 projek CIC dari beberapa kawasan dalam lingkungan koridor utara yang melibatkan 8 produk, 120 peserta dan mencapai minima 60% indeks kepuasan rakyat (CSI).

Elemen inovasi dari USM yang diketengahkan dan dipindahkan ialah inovasi USM MUSTAFA-HIVE yang dihasilkan oleh pensyarah muda dari USM Kubang Kerian iaitu Dr. Zulkifli Mustafa yang merupakan seorang Pakar Neurologi dari Pusat Pengajian Sains Perubatan yang telah memenangi pingat emas inovasi asas tani untuk ciptaan MUSTAFA-HIVE.

Kemajuan projek kelulut yang kini mempunyai 3 ladang ternakan dan turut mendapat sokongan serta kerjasama Koperasi Kelulut-Sampugita Kelantan Berhad (Honeygold Enterprise) diharapkan dapat terus berkembang dan menarik pelabur atau mana-mana agensi untuk bersama menyumbang mencetuskan inovasi dari komuniti melalui pemindahan ilmu.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai tanggungjawab sosial, USM akan terus komited menyumbang melalui ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada dan adalah diharapkan pemerkasaan komuniti melalui projek berinovasi sebegini dapat membantu mewujudkan peluang untuk ahli komuniti terutama golongan dibawah aras kemiskinan tegar bagi membaiki kedudukan sosioekonomi mereka.

Teks : KTP / Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : KTP USM

  • Created on .
  • Hits: 1444

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024