USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ARCA ORANG UTAN SEDARKAN MASYARAKAT TENTANG ISU KEPUPUSAN DAN KITAR SEMULA

untitledbh

USM, PULAU PINANG, 12 November 2016 - Sekumpulan pelajar tahun 2 jurusan Seni Halus Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia telah menampilkan keunikan tersendiri apabila berjaya menghasilkan sebuah arca orang utan yang berdimensi 6 kaki tinggi dan 6 kaki lebar.

Menurut ahli kumpulan, Nor Fatihah Yusof, pada awal perbincangan kumpulannya, mereka memilh kucing untuk dijadikan sebagai subjek, namun setelah dikaji dan diterokai, terdapat beberapa halangan yang sukar dielakkan dalam menciptanya.

"Setelah kami meneliti dan menyelidik satu-persatu haiwan dan bahan lain untuk dijadikan sebagai subjek, kami mendapati bahawa terdapat sejenis haiwan yang sangat unik dan semakin pupus disebabkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab di negara ini khususnya iaitu orang utan dan seterusnya mengambil keputusan untuk menciptanya," tegasnya.

Katanya, pemburuan haram, penebangan hutan secara berleluasa dan tidak terancang juga menyumbang kepada kepupusan haiwan tersebut dan melalui ciptaan arca orang utan ini, kami ingin mengetengahkan bahawa kesedaran yang tinggi perlu dipupuk dalam jiwa masyarakat kini tentang isu kepupusan orang utan yang merupakan salah satu aset negara dan juga aspek kepentingan mengitar semula barangan terpakai di negara ini melalui penggunaan tayar-tayar terbuang dalam mencipta arca ini.

Jelasnya, keunikan arca orang utan ini adalah ianya dibina dengan menggunakan bahan terbuang iaitu tayar-tayar yang selalunya tidak dipandang langsung oleh orang ramai akan potensi bahan tersebut untuk dikembangkan menjadi sesuatu yang menarik walaupun ianya sukar dikendalikan sesetengah masa dan waktu.

untitledhjvh

Fatihah dan ahli kumpulannya juga ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa bahan tersebut ada kegunaan dan kelebihannya selain hanya dibakar atau dibuang di merata-rata tempat dan tidak terurus dengan baik.

"Kami menghasilkan arca ini dengan mengunakan teknik welding untuk mencantum besi-besi terpakai yang bertindak sebagai rangka utama yang menyokong struktur arca ini dan menampal tayar-tayar ini pada besi tersebut mengikut rekaan orang utan dan terutamanya ketika menggunakan mesin jigsaw, welder, driller dan sebagainya dalam penghasilan arca ini, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kemalangan yang mungkin berlaku," kata pelajar tahun 2 ini.

Pembuatan Arca ini mengambil masa selama 168 jam menggunakan lebih 3000 screw dan lebih 200 tayar kitar semula dan membabitkan 6 orang pelajar.

Fatihah juga memberitahu bahawa tayar-tayar untuk pembuatan arca ini didapati dari kedai-kedai motosikal dan kereta di sekitar Bayan Baru, Relau, Sungai Nibong dan Bukit Gambir.

Selain Fatihah, ahli kumpulan lain terdiri daripada Putri Intan Sari Binti Amrizal, Ain Munirah Binti Ahmad Kamil, Intan Eva Natasha Binti Hadzamee, Muhammad Riduan Bin Raja Yunus dan Noor Hafizah Binti Rosli.

Arca ini akan mengambil bahagian dalam
Pertandingan Arca 3R antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia yang merupakan pertandingan anjuran SWCorp Malaysia bersempena Sambutan Karnival Kesejahteraan Bandar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Nor Fatihah Yusof

  • Created on .
  • Hits: 1961

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024