USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZIARAH DAKWAH USM WUJUD KERJASAMA STRATEGIK KOMUNITI ORANG ASLI PAHANG

 

1

KUANTAN, 11 NOVEMBER 2016 – Program Ziarah Dakwah anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) bersama komuniti orang asli Kampung Sg.Mas Lembing, Kuantan, Pahang berjaya membentuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam konteks keilmuan dan kemasyarakatan.

Anjuran Unit Hal Ehwal Wanita (HELWA) Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia ini telah membentuk beberapa kesepakatan bagi meneruskan agenda dakwah dan perkongsian kepakaran USM buat komuniti orang asli dan golongan terkebawah di Pahang baru-baru ini.

Ketika ditemui, Pengerusi Unit Hal Ehwal Wanita (HELWA), Pusat Islam, USM, Rohayati Daud berkata program seumpama ini merupakan kesinambungan program Ziarah Dakwah yang telah dianjurkan oleh HELWA sebelum ini bagi mendekatkan Pusat Islam USM bersama komuniti luar yang memerlukan.

“Ziarah Dakwah merupakan program diadakan bukan sahaja mengeratkan silaturrahim bersama saudara-saudara baru malah ingin mencungkil pencapaian yang boleh diketengahkan seperti pencapaian ekonomi dan pengurusan pentadbiran kewangan Islam oleh penduduk orang asli terbabit”

2

Program ini melibatkan 26 orang staf Pusat Islam USM dan 4 orang ahli Jawatankuasa HELWA Pusat Islam USM yang diketuai Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Md Yusof Bin Abdul Rahim dengan kerjasama Unit Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang , Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pahang dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pahang.

Tambah Rohayati, Ziarah Dakwah ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan mesej dakwah dan mengeratkan hubungan, tetapi ia kepada kebaikan dua hala di mana pihak USM dapat mengenalpasti kekurangan yang mana boleh ditampung untuk komuniti terutamanya konteks ilmu.

“Kita juga mahu memberi peluang buat peserta berinteraksi dan berkomunikasi dnegan institusi yang dikunjungi seterusnya dapat mewujudkan perkongsian amalan pentadbiran dan pengurusan masjid secara bersepadu termasuk jalinan kerjasama yang boleh dimanfaatkan bersama”

Pada masa yang sama, aktiviti ziarah dan sumbangan turut diteruskan ke beberapa institusi sekitar Kuantan Pahang antaranya Rumah Anak-Anak Asnaf Al-Kauthar, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pahang, Pusat Aperantis Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).Pusat Islam Universiti Malaysia Pahang (UPM) dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampus IIUM Kuantan.

3

Jelasnya lagi, beliau amat bersyukur kerana kerjasama yang baik semua pihak melancarkan program tersebut yang membawa kepada kesepakatan strategik dalam akademik dan keagamaan pada masa mendatang.

“Kita akan usahakan beberapa program seperti ini agar perkembangan sosial dan pembangunan ummah seiring dengan kemajuan ilmu buat masyarakat luar yang memerlukan.”

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Pusat Islam USM

  • Created on .
  • Hits: 1569

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024