USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, HEHD TANDATANGAN MOU UNTUK KOLABORASI AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

 DSC6885

USM, PULAU PINANG, 11 November 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Hadhramout Establishment for Human Development (HEHD) Yemen untuk memperkukuhkan, mempromosi dan membangunkan kolaborasi akademik jangka panjang dalam program sarjana muda dan pascasiswazah serta kerjasama penyelidikan kedua-dua pihak.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang mahu MoU ini memberi fokus kepada kerjasama dan perkara yang menjurus kepada kemasukan pelajar sarjana muda dan pascasiswazah selain juga kepada penyelidikan, pembangunan dan inovasi.

 DSC6892

 DSC6913

"Saya ingin melihat USM dan HEHD mengadakan perbincangan lebih terperinci secepat yang mungkin untuk menerokai peluang kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak dan negara," katanya.

Asma menandatangani MoU bagi pihak USM manakala HEHD diwakili oleh Pengerusinya, Eng. Sheikh Abdullah A. Bugshan.

HEHD ditubuhkan pada 2006 untuk meneruskan pembangunan sosioekonomi di Yemen khususnya di bahagian Hadhramout untuk mewujudkan lebih peluang pendidikan negara tersebut.

 DSC6981

Sebelum penandatanganan MoU, Asma telah memberikan pembentangan berkaitan dengan keadaan semasa dan masa hadapan pendidikan tinggi negara serta senario pendidikan tinggi di Malaysia dan sedikit pembentangan mengenai USM yang memberi fokus kepada akademik, pencapaian penyelidikan dan apa yang boleh ditawarkan oleh USM kepada pelajar antarabangsa.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Penolong Naib Canselor USM merangkap Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pegawai Pengiring (Malaysia) HEHD Profesor Emeritus Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman; ahli-ahli lembaga pemegang amanah HEHD; Pengarah Pusat Kolaborasi Antarabangsa Profesor Dr. Lee Keat Teong; dekan-dekan, pengarah-pengarah, dan pegawai utama USM.

 DSC7042

 DSC7013

10 orang delegasi dari HEHD itu juga dibawa ke Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM untuk sesi lawatan ringkas di mana mereka melawat beberapa peralatan canggih dan makmal-makmal serta diberi taklimat tentang beberapa penyelidikan yang sedang giat dijalankan di sana.

 DSC7062

INFORMM adalah salah satu daripada beberapa institut penyelidikan yang diberi penarafan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) sejak 2010.

Terjemahan: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1021

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024