USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI ILMU ICT DAN TEKNOLOGI BERSAMA ORANG ASLI

untitledcb

PULAU PINANG, 9 November 2016 - Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (Kusisdari) telah mengadakan Program Libatsama-Universiti Komuniti bersama masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih Ulu Slim, Slim River, Perak Darul Ridzuan baru-baru ini.

Menurut Yang di-Pertua Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (Kusisdari), Asra Amri Kusni, program di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih ini merupakan Program Libatsama-Universiti Komuniti siri yang ke-9 dan sebelum ini, pihak Kusisdari telah menjalankan program di beberapa sekolah orang asli iaitu antaranya Sekolah Kebangsaan Rps Banun, Gerik; Sekolah Kebangsaan Pos Perwor, Sungai Siput; Sekolah Kebangsaan Pos Kemar, Sungai Siput dan Sekolah Kebangsaan Batu 7, Tapah.

"Objektif program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu ICT dan teknologi kepada golongan terkebawah (bottom billion) iaitu masyarakat orang asli, selain program ini juga bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan penglibatsamaan antara universiti dan komuniti masyarakat orang asli di negara ini khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan," kata pelajar Sains Kemasyarakatan ini.

Tambahnya, program ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu "Student Knowledge Transfer Programme" (SKTP) yang memberi fokus kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada masyarakat orang asli dengan memberi pendedahan ICT melalui pengajaran modul seperti Microsoft Word, Teknik Mengambil Gambar, Membuat Blog, Membuat Akaun Email dan penambahbaikan gambar menggunakan aplikasi Picasa.

untitledfbb

"Golongan yang diajar merupakan pelajar-pelajar sekolah dan belia yang telah dipilih oleh tok batin di beberapa perkampungan di situ dan selain itu, aktiviti sukaneka dan melukis mural turut dijalankan bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Bersih," jelas lanjutnya.

Bagi Pengarah Projek Libatsama-Universiti Komuniti siri ke-9, Nur Adila Abdul Razak pula, program ini diharapkan dapat memberi motivasi, peluang dan ruang kepada segenap masyarakat khususnya golongan terpinggir untuk bersama-sama berjaya dalam kehidupan seharian dan demi mencapai objektif tersebut, kerjasama dan sokongan padu pelbagai pihak amatlah diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi.

Program Libatsama-Universiti Komuniti ini disertai oleh seramai 38 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), 7 orang staf Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), 4 orang staf Alumni USM dan 4 orang Alumni Kusisdari.

Program ini dijayakan dengan kerjasama PTPM USM dan Pusat Perhubungan Alumni (PPA) USM yang diketuai oleh Pengarahnya Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya yang juga merupakan Penasihat Kusisdari.

Siri 1 hingga siri 7 Program Libatsama-Universiti Komuniti ini telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan pada 15 Ogos 2015, program ini telah mendapat Anugerah Cemerlang UCTC bagi Teknologi dan ICT yang telah diadakan di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Putrajaya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: KUSISDARI

  • Created on .
  • Hits: 2145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024