PRODUK ARKEO-PELANCONGAN USM DAPAT SAMBUTAN DI LONDON
LONDON, 9 November 2016 - Penyertaan Universiti Sains Malaysia (USM) yang membawa produk arkeo-pelancongan Sungai Batu dan Lenggong dalam program World Travel Mart yang sedang berlangsung di sini mendapat sambutan yang baik dan memberangsangkan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin berkata, setiap tahun Tourism Malaysia mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung di London dan ini adalah untuk kali ke-33.
"Untuk pertama kalinya USM melalui PPAG diajak turut serta secara rasmi untuk mengambil bahagian dengan mengetengahkan produk arkeologi kajian di Sungai Batu dan Lembah Bujang,"kata Mokhtar.
Menurut beliau acara yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu mendapat sambutan hangat dengan maklum balas yang sangat baik dari pengunjung.
"Memandangkan ini merupakan penyertaan pertama kita, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan bersetuju untuk USM memainkan peranan dalam membangunkan produk arkeo-pelancongan di negeri Perak dan Kedah,"kata Mokhtar lagi yang masih berada di sini.
USM adalah satu-satunya universiti yang turut serta dengan mengetengahkan produk arkeo-pelancongan dalam pameran ini.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1156