USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKASA KERJASAMA DENGAN PAKISTAN

untitledvty

USM, PULAU PINANG, 9 November 2016 - Pelbagai pihak di negara ini dipelawa mengambil bahagian dalam memperkasakan hubungan dengan negara Pakistan.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia TYT Syed Hassan Raza ketika menyampaikan syarahan umumnya di sini berkata, negara tersebut sentiasa membuka peluang untuk pelbagai pihak terutamanya syarikat-syarikat di Malaysia untuk membina tapak perniagaan di sana dan mengambil lebih peluang dalam perniagaan di negara tersebut.

“Kerajaan Pakistan membuka peluang ini dan sanggup membantu apatah lagi  terdapat ramai rakyat Malaysia yang asal keturunannya dari Pakistan menjadikan kita ini dari akar yang sama,” kata beliau dalam syarahan umum bertajuk ‘Economic Development and CPEC Cooperation between Pakistan and China: Opportunities for other Countries’ semalam di Dewan Persidangan Universiti (DPU), Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau turut mengupas dan memberikan contoh-contoh jalinan kerjasama Pakistan dengan negara lain terutamanya Republik Rakyat China yang kini dalam pelaksanaan China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) bagi pembangunan ekonomi kedua-dua buah negara dan impaknya terhadap negara-negara lain khususnya di Asia Selatan dan Asia Tengah.

Namun begitu,  beliau  berkata dalam setiap urusan dan juga pelaburan, adalah penting untuk menghormati hak kemanusiaan dan juga memberikan hak yang telah dijanjikan.

Syed Hassan yang berasal dari Lahore, Pakistan, mula bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia pada 27 Februari 2014. Sebelum ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai Duta Pakistan ke Qatar dari April 2013 hingga Februari 2014.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (1983), Sarjana Muda Undang-undang (1986) dan Sarjana Sastera dalam Sains Politik (1988), kesemuanya dari University of the Punjab, Pakistan.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail dan juga Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa yang juga moderator syarahan, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk.

Terdapat kira-kira  100 orang pelajar Pakistan yang sedang mengikuti pangajian di peringkat ijazah tinggi di USM sekarang ini.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 824

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024