USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR TAHUN AKHIR BATI HASILKAN KAMUS KATA KERJA BAHASA CINA-BAHASA MELAYU PERTAMA DI MALAYSIA

EAM 3045

USM PULAU PINANG, 9 November 2016 – Penghasilan kamus kata kerja Bahasa Cina - Bahasa Melayu oleh pelajar tahun akhir bidang Terjemahan dan Interpretasi (BATI) Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK)  Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat sebagai salah satu inisiatif mereka dalam mengembangkan komponen kata kerja yang sering digunakan pada masa kini.

Ketua kumpulan pelajar terbabit, Seow Jia Man menganggap hasil usaha kumpulannya yang terdiri seramai 15 orang itu berbaloi apabila berjaya menerbitkan kamus pertama seumpamanya di Malaysia.

“Sebanyak 3968 kata kerja telah dikumpulkan menggunakan korpus Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang diambil mengikut kekerapan yang sering menjadi rujukan pengguna,” tambahnya.

Jelasnya lagi, banyak cabaran yang dihadapi oleh kumpulannya dalam menerbitkan kamus berkenaan memandangkan mereka perlu mengumpulkan maksud yang  berbeza bagi setiap kata kerja mengikut peredaran zaman dan penggunaan pada masa kini.

Selain daripada itu, faktor kekangan masa yang suntuk juga menjadi cabaran kepada kumpulan ini kerana mereka menyusun dan menyelaras setiap kata kerja ini secara manual.

“Penghasilan kamus ini dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan penutur Bahasa Cina menjadi bertambah mudah,” katanya lagi.

Pelajar ini ditemui ketika  majlis perasmian projek Tahun Akhir Pelajar BATI di sini, semalam.

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Yang hadir sama ialah Dekan PPIK Profesor Dr. Narimah Samat, Penyelaras Bahagian BATI PPIK Profesor Madya Dr Goh Sang Seong dan Pemangku Ketua Pustakawan USM, Ali Abdul Rahim.

Seramai 38 orang pelajar tahun akhir BATI mempamerkan hasil terjemahan  empat buku iaitu Know It All: The Children's Encyclopedia of Everything, Penang's Living Legacy: Heritage Traders of George Town, Straits Chinese Gold Jewellery dan Invertebrates of Pangkor Island. 

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Ebrahim Abd Manan

  • Created on .
  • Hits: 1431

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024