USM HASILKAN PENTERJEMAH MEMAHAMI BUDAYA
USM, PULAU PINANG, 8 November 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sebagai satu-satunya universiti di negara ini yang melahirkan bakat dalam bidang terjemahan dan interpretasi berusaha menghasilkan siswazah yang memahami pandangan menyeluruh atau world-view yang meliputi kefahaman budaya dalam melaksanakan usaha tersebut.
Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong berkata, hal ini penting kerana hasil penterjemahan seharusnya menepati kandungan dalam teks asal termasuk dalam memahami sosio-budayanya, bukan sekadar menguasai sekurang-kurangnya dwi-bahasa, ilmu budaya dan teori.
"Dalam usaha memandaikan bangsa melalui usaha penterjemahan dan penginterpretasian termasuk juga membantu golongan kurang upaya untuk memahami teks dan visual, kita perlu lebih memahami world-view ini dalam konteks yang tepat dan inilah kaedah pembelajaran utama para pelajar USM dalam menguasai disiplin ilmu ini," katanya lagi.
Tambahnya, kerana itu juga sebahagian besar pelajar kursus ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang dalam bidang Sains termasuk pada peringkat Matrikulasi agar mereka lebih memahami usaha penterjemahan naskhah-naskhah karya Sains dan Teknologi.
Bercakap dalam majlis Perasmian Pembukaan Pameran Projek Terjemahan Pelajar Tahun Akhir Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi di Perpustakaan Hamzah Sendut, beliau turut mencadangkan agar USM mempertimbangkan untuk menerbitkan Jurnal Akademik Terjemahan dan Interpretasi untuk memberi pengiktirafan dan membuka jalan kepada usaha mengkayakan masyarakat terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya.
"Jika hal ini dapat kita lakukan, tentunya mampu memberi nilai ekonomi dan akademik serta menjadi yang pertama yang membuka laluan kepada usaha sedemikian yang melibatkan paling tidak bahasa-bahasa di rantau ini," tambahnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang merasmikan pameran tersebut kagum dengan usaha yang dilakukan oleh para pelajar.
"Saya sedar usaha penterjemahan bukanlah mudah tetapi memerlukan minat dan kesungguhan yang mendalam serta usaha yang bersungguh-sungguh," kata Ahmad Shukri.
Pada majlis tersebut, seramai 38 orang pelajar mempamerkan hasil usaha mereka melalui kerja penterjemahan empat buah buku iaitu Know It All: The Children's Encyclopedia of Everything, Penang's Living Legacy: Heritage Traders of George Town, Straits Chinese Gold Jewellery dan Invertebrates of Pangkor Island dan juga menghasilkan Kamus Kata Kerja yang melibatkan Bahasa Melayu - Bahasa Cina menggunakan korpus Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).
Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Profesor Dr. Narimah Samat dan Ketua Pustakawan USM Ali Abdul Rahim.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1262