USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEKRETARIAT SUKARELAWAN USM JAYAKAN ‘BAJU SEKOLAH PROJECT@USM’ BANTU GOLONGAN ASNAF DI BALIK PULAU

14908363 666230470203610 4597403194363447345 n

USM, PULAU PINANG, 8 November 2016 – Sekretariat Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Barat Daya Pulau Pinang buat pertama kalinya menganjurkan ‘Program Baju Sekolah Project @USM’ dalam membantu memenuhi kebajikan komuniti asnaf di sekitar daerah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Menurut Penasihat Kor Sukarelawan USM, Zulkifli Che Hussin, program ini secara dasarnya berpandukan matlamat pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dengan membekalkan kemudahan asas pendidikan kepada golongan kurang berada.

“Sekretariat Sukarelawan USM telah mengesan seramai 120 orang pelajar sekolah menengah dan rendah yang tergolong dalam kumpulan masyarakat asnaf yang serba kekurangan dan memerlukan sumbangan bantuan persekolahan di daerah Balik Pulau,” katanya.

14962789 669673859859271 1952873821504687088 n

Jelasnya lagi, perlaksanaan program ini berfokuskan komuniti kampus USM, mahasiswa dan staf untuk turut serta sebagai penyumbang utama sumber bantuan persekolahan.

“Sumbangan yang dimaksudkan dispesifikasikan kepada kutipan amal dana pakaian sekolah mengikut sistem kolektif berpakej iaitu tiga pakej yang boleh dipilih oleh penyumbang untuk membuat sumbangan secara top (RM30), bottom (RM30) dan All-in-One (RM60),” tambah Zulkifli.

Katanya, setiap sumbangan boleh diserahkan secara langsung di kaunter yang dibuka di laluan Foyer DK bermula 31 Oktober sehingga 5 Disember ini atau menghubungi pihak Sekretariat Sukarelawan USM.

“Pada kemuncaknya, sumbangan tersebut bakal disalurkan menerusi Majlis Sua Mesra Siswa Bersama Komuniti yang akan diadakan pada 10 Disember akan datang yang dirangka sebagai acara penutup bagi program ini,” katanya lagi.

14264072 10210480635035979 1165988431519542639 n

Zulkifli yakin keterlibatan warga USM khususnya dalam menjayakan program ini mampu menghasilkan suatu impak yang positif serta bersifat timbal balik dalam kalangan masyarakat sekitar.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 907

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024