USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEKNOLOGI DIGITAL MAMPU JADI SUMBER PENJANAAN KEWANGAN HASIL KARYA KREATIF PELAJAR

EAM 2997

USM, PULAU PINANG, 7 November 2016 - Perkembangan teknologi digital dewasa ini dilihat mampu menjadi platform dalam menjana pendapatan bagi karya kreatif yang dihasilkan oleh para karyawan melalui pelantar media digital dan pemasaran atas talian.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata, setiap hasil kajian para pensyarah, pelajar dan penyelidik di USM ini perlu diterbitkan dalam bentuk penerbitan yang baik dan memberi impak yang bersesuaian kepada masyarakat.

“Pada abad ke-21 ini, penjanaan pengetahuan banyak bergantung melalui proses kreatif dan inovasi dan salah satunya ialah industri kreatif di mana industri ini berasal dari pemanfaatan kreativiti, keterampilan serta bakat individu untuk menciptakan kesejahteraan serta lapangan pekerjaan dengan menghasilkan dan mengeksploitasi daya kreatif dan daya cipta individu tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Persidangan Kebangsaan Proses Kreatif Digital dan Pemasaran Atas Talian di sini, hari ini.

Persidangan ini merupakan anjuran bersama Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Dalam majlis yang sama, Adnan turut melancarkan buku berjudul ‘Kesusasteraan dalam Pendidikan: Kepentingan Kesusasteraan dalam Industri Kreatif’ yang diterbitkan oleh ITBM.

EAM 2994

Jelasnya lagi, hubungan pihak universiti dan sektor industri juga perlu dititik beratkan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat daripadanya.

“Landasan industri kreatif menjadi satu landasan yang berpotensi diterokai oleh pusat pengajian yang berasaskan bukan sains seperti PPIK ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat berkata, usaha PPIK mengadakan persidangan ini bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada para karyawan membicarakan secara kritis tentang proses penulisan karya kreatif melalui pelantar media digital dan pemasaran atas talian.

“Selain itu juga, usaha ini juga dapat membuka ruang kepada pelajar mengetahui tentang perkembangan teknologi digital yang mampu dijadikan sebagai salah satu sumber penjanaan kewangan kepada mereka,” katanya.

Bagi Pengerusi persidangan ini pula, Profesor Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz, persidangan yang telah bermula pada tahun 2013 ini dibiayai oleh dana daripada Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).

“Persidangan ini merupakan penutup kepada persidangan proses kreatif digital di mana kita mengumpulkan keseluruhan topik-topik oleh penyelidik yang menjalankan kajian daripada geran FGRS ini,” jelasnya.

Beliau juga akan menyampaikan pembentangan dalam persidangan tersebut dengan tajuknya ‘Proses Kreatif Keterlibatan dan Pemasaran Digital: Mencipta dan Memasar Novel Popular’.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 2312

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024