USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYERTAAN WANITA DALAM PELBAGAI SEKTOR BUKTI KEMAJUAN NEGARA

14962746 1220529891345600 5996457784140601636 n

USM, PULAU PINANG, 3 November 2016 - Penyertaan wanita dalam semua bidang ekonomi di Malaysia sememangnya telah mencapai kemajuan yang besar lantas membuktikan mereka mampu untuk memimpin dan berjaya dalam sektor awam dan juga swasta.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nor Hafizah Selamat berkata, dalam era yang semakin menuntut prestasi cemerlang, pelantikan untuk memegang jawatan kepimpinan tidak lagi berdasarkan gender tetapi lebih mengutamakan kebolehan sebagai pentadbir, penggubal dasar dan pemimpin yang berinovasi.

Katanya lagi, awal tahun 2016 memperlihatkan perlaksanaan dasar pembabitan 30 peratus wanita dalam pentadbiran negara.

“Selain daripada itu, semakin ramai wanita di Malaysia memilih keusahawanan untuk kerjaya sekalipun menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan sokongan kewangan dan persaingan di pasaran,” tambahnya lagi.

Menurut Nor Hafizah, usahawan wanita Malaysia juga semakin diiktiraf sebagai pemacu utama dalam ekonomi, khususnya Industri Kecil Sederhana (IKS), malah ada yang mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang kerana mereka mengetuai beberapa syarikat multi-nasional yang biasanya didominasi oleh lelaki.

Jelasnya, dari segi pendidikan dilihat pencapaian kaum wanita mendahului lelaki. Ini terbukti apabila kira-kira 65 peratus yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah wanita.

14915442 1220535564678366 568622750674829832 n

“Jumlah calon pelajar wanita jauh mengatasi lelaki ke IPTA tidak dapat dielakkan kerana pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi menentukan nilai merit seseorang calon,” katanya dalam Program Bicara Wanita “Kepimpinan Wanita di Malaysia: Cabaran dan Peluang” di sini, hari ini.

Turut bersama dalam perbincangan tersebut ialah ahli-ahli panel yang terdiri daripada pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, dan Pengarah Eksekutif Positive Image Resources Datin Nor Zaina Ghani dengan dipengerusikan oleh Farah Diana Anuar.

Lebih 200 orang peserta hadir program anjuran Pusat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama KANITA USM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1293

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024