USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIDIK PERLU MEMPERSIAPKAN DIRI HADAPI CABARAN PENDIDIKAN ABAD KE-21

 DSC6536H

USM, PULAU PINANG, 1 November 2016 - Para pendidik perlu bersiap siaga dan sentiasa mempertingkatkan diri dalam ilmu pengetahuan serta teknik pengajaran yang relevan dan terkini bagi merealisasikan kehendak pendidikan abad ke-21.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, pendidikan abad ke-21 menekankan pembangunan pelajar secara holistik dengan memfokuskan kepada pembangunan intelek, rohani, emosi dan fizikal serta pembinaan identiti nasional yang kukuh dan jitu.

“Corak pengajaran dan pembelajaran yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik mampu menjadikan guru pemangkin kepada anjakan paradigma dalam bidang pendidikan serta dapat memberikan impak yang signifikan untuk keberhasilan pelajar,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Hari Guru 2016 peringkat Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM.

 DSC6559G

Jelasnya lagi, pendidik seharusnya menjadi idola yang positif kepada pelajar melalui integriti yang ditunjukkan setiap masa dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.

“Pendidik yang berintegriti tinggi adalah pemacu sebuah organisasi yang efektif dan efisyen yang akan menyumbang ke arah pembangunan negara,” tambahnya lagi.

 DSC6564K

Sementara itu, Dekan PPIP, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail berkata, tema sambutan Hari Guru pada tahun 2016, ‘Guru: Pembina Negara Bangsa’ merupakan tema yang telah digunakan pada sambutan Hari Guru tahun 2009 dan 2010.

“Tema ini mencerminkan peranan guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat,” jelasnya.

Jelasnya lagi, tema ini juga menunjukkan bahawa untuk menjayakan agenda pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.

 DSC6581

 DSC6583

Di majlis yang sama, Shukri turut menyampaikan anugerah bagi beberapa kategori seperti Tokoh Pelajar Harapan, Penghargaan Perkhidmatan serta anugerah sijil dekan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1103

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024