USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUNIA PERLU TAHU APA YANG KITA LAKUKAN - NC USM

untitledghmh

PUTRAJAYA, 1 November 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyeru agar lebih ramai penulis dan penerbit yang prolifik untuk tampil dan bekerja keras untuk Universiti dan negara. Usaha dan pengiktirafan yang diterima tentunya akan membolehkan dunia tahu apa yang kita lakukan di sini.

"Pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ini adalah berdasarkan penelitian oleh pihak ketiga iaitu Clarivate Analytics dan Elsevier dan alhamdulillah USM menerima 9 pengiktirafan dan saya berharap akan bertambah lagi pada tahun akan datang," kata Asma ketika ditemui di Malaysia's Rising Star Award (MRSA) dan Pengiktirafan Taraf CREAM 2016 di sini hari ini.

"Sekali lagi syabas dan tahniah kepada semua dan teruskan kecemerlangan," tambah Asma.

MRSA adalah penganugerahan dan pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang penyelidik saintifik di Malaysia yang menghasilkan penyelidikan dan penulisan ilmiah merangkumi tiga kategori iaitu Young Researcher, Frontier Researcher dan Highly Cited Review.

USM menerima dua anugerah iaitu Young Researcher melalui pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Lee Keat Teong dan Highly Cited Review oleh Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah dari Pusat Pengajian Sains Kimia.

Pengiktirafan tertinggi iaitu Malaysia's Highly Cited Researchers named amongst the World's Most Influential Scientific Minds 2015 diberikan kepada pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia iaitu Profesor Dr. Bassim H. Hameed bersama dua orang lagi pensyarah dari IPTA lain.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato' Seri Idris Jusoh.

untitlednm

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi  Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, kerjasama strategik antara KPT dan dua agensi pengindeksan antarabangsa ini memberikan impak yang besar dalam memartabatkan penghasilan penerbitan ilmiah serta meningkatkan visibiliti penyelidik Malaysia di peringkat global.

"Saya percaya dengan kepimpinan Naib Canselor yang baharu ini, lebih ramai penyelidik muda akan diketengahkan dan digilap untuk lebih cemerlang di masa hadapan," tambah Siti Hamisah yang juga ahli Lembaga Gabenor USM itu.

Pada majlis yang sama, sebanyak 6 buah jurnal terbitan Penerbit USM dan diketuai oleh editor yang juga pensyarah USM menerima Taraf Cream iaitu Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society yang kali kedua berturut-turut tersenarai sejak taraf CREAM diperkenalkan, sebagai antara jurnal yang meneruskan kualiti terbilang dan diindeks ke Web of Science (WoS).

Dua buah jurnal yang turut tersenarai dalam kategori Scopus adalah Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance (AAMJAF) (Ketua Editor - Profesor Dato’ Dr. Ruhani Ali) dan International Journal of Asia-Pacific Studies (Ketua Editor - Profesor Dr. Ooi Keat Gin).

Tiga lagi jurnal yang tersenarai bagi kategori Potential Journal adalah Journal of Physical Science (Ketua Editor - Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad), Malaysian Journal of Medical Sciences (MJMS) (Ketua Editor - Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah) dan Journal of Construction in Developing Countries (Ketua Editor - Profesor Sr. Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz).

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024