USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAINTIS USM BERAZAM TERUS MENYUMBANG UNTUK NEGARA

untitledbvnbn

PUTRAJAYA, 1 November 2016 - Tiga orang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Malaysia’s Rising Star Award 2016 di samping 6 Jurnal terbitan Penerbit USM menerima taraf  CREAM Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam majlis penyampaian oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

Yang menerima Malaysia’s Rising Star Award ialah Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah dari Pusat Pengajian Sains Kimia untuk Malaysia’s Rising Star Award (Clarivate Analytics)  kategori Highly Cited Review; Profesor Dr. Lee Keat Teong dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia untuk Malaysia’s Rising Star Award (Clarivate Analytics) kategori Young Researcher dan Profesor Dr. Bassim H. Hameed juga dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia sebagai pengiktirafan kepada penyelidik oleh pihak Clarivate Analytics: Malaysia’s Highly Cited Researchers Named Amongst the World’s Most Influential Scientific Minds 2015.

Clarivate Analytics dahulunya adalah dikenali sebagai IP & Science Business of Thomson Reuters.

untitledxcvxcv

Bassim melahirkan rasa syukur kerana diberi penghormatan menerima anugerah ini yang dianggapnya sebagai pengiktirafan terhadap kerja penyelidikan dan sumbangannya kepada USM dan negara ini dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Sains Persekitaran dan Kejuruteraan.

"Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan USM yang menyokong kumpulan penyelidikan kami terutamanya dalam menyediakan pelbagai dana untuk kerja penyelidikan yang dibuat sepanjang 17 tahun saya berkhidmat di USM," kata Bassim yang berasal dari Iraq.

Tambahnya lagi, pengiktirafan ini tentu sahaja menjadi dorongan kepadanya untuk bekerja lebih keras dan meningkatkan sumbangan kepada USM dan Malaysia terutamanya dalam menyelesaikan isu-isu persekitaran hari ini mahu pun pada masa hadapan.

"Para penyelidik muda hari ini perlu lebih berfokus dalam menjalankan kerja penyelidikan yang baik terutamanya yang relevan dengan isu-isu global seperti persekitaran, perubahan cuaca, tenaga dan sebagainya serta tidak hanya menjalankan penyelidikan berdasarkan minat peribadi," nasihat Bassim kepada para penyelidik muda.

Tambahnya, mereka perlu merancang kerja penyelidikan dengan baik, mempunyai objektif yang jelas dan yang lebih penting lagi terbitkan hasil dan penemuan penyelidikan mereka dalam jurnal ISI-Indeks terkemuka dalam bidang yang berkaitan.

Sehingga kini, Bassim telah menerbitkan lebih daripada 215 artikel dalam jurnal  ISI-Indeks dengan lebih 75% daripadanya disenaraikan dalam kedudukan teratas 15% dalam bidangnya. Beliau turut menerbitkan lebih 100 artikel dalam pelbagai jurnal dan prosiding tempatan dan antarabangsa.

Bassim termasuk dalam senarai berprestij Thomson Reuters sebagai Highly Cited Researchers 2014 dan 2015 serta menjadi antara "The World’s Most Influential Scientific Minds 2014 and 2015”.

untitleddrgr

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pengurusan Kreativiti Penyelidikan serta Pengarah Pejabat Kolaborasi Antarabangsa USM Profesor Dr. Lee Keat Teong yang menerima anugerah untuk kategori Penyelidik Muda berharap pengiktirafan yang diterimanya itu akan menjadi motivasi dan dorongan untuk bekerja lebih keras dan mencapai yang lebih baik pada masa hadapan.

"Sebagai penyelidik, kita perlu sentiasa melihat aspek positif serta lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan kerja penyelidikan untuk mendapatkan hasil yang terbaik dengan sumber-sumber dan fasiliti yang ada terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang ini," kata Lee Keat Teong.

Beliau menyambut baik saranan Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail untuk meningkatkan kerjasama dan proses pembelajaran bersama serta berkolaborasi dengan rakan-rakan seluruh dunia untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan projek penyelidikan.

"Saya berharap untuk lebih berusaha agar hasil dari penyelidikan yang dibuat berguna untuk kegunaan industri dan masyarakat," katanya lagi.

Pada masa ini, Lee Keat Teong sedang menjalankan penyelidikan untuk menjana tenaga yang diperbaharui dari alga yang diharapkan akan menjadi sumber tenaga alternatif pada masa hadapan berbanding dengan kebergantungan kepada sumber dari bahan fosil sekarang ini yang menjadi punca pencemaran dan pemanasan global.

Beliau tersenarai sebagai seorang daripada empat Most Cited Researchers dalam Shanghai Academic Ranking of World Universities 2016 by Subjects dalam bidang Energy Science and Engineering.

untitledxcv

Profesor Dr. Wan Saime Wan Ngah melahirkan rasa syukur kerana dipilih buat kali kedua berturut-turut dalam Malaysia's Rising Star Award 2016 bagi kategori Highly Cited Review.

"Hal ini amat membanggakan bukan sahaja kepada Pusat Pengajian Sains Kimia tetapi secara keseluruhannya USM kerana penerbitan yang dihasilkan dirujuk oleh pelbagai pihak dari luar serta diberikan pengiktirafan," kata Wan Saime.

Terjemahan: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2380

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024