USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EMPAT PENSYARAH USM SELARAS AKEPT YOUNG SCHOLARS' PROGRAMME (YSP)

PULAU PINANG, 31 Oktober 2016 - Seramai 20 orang calon ijazah sarjana dan kedoktoran dari pelbagai universiti di negara ini dipilih mengikuti AKEPT Young Scholar Programme (YSP), program unik berteraskan kecemerlangan akademik yang dilaksanakan bersama oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dengan sokongan ‘Young Scientists Network’ - Akademi Sains Malaysia.

Menurut Ketua Penyelaras AKEPT YSP, Dr. Wan Chang Da, pelaksanaan program ini dilakukan melalui penyelarasan oleh empat orang pensyarah USM melalui 5 fasa kursus selama 12 bulan, bermula Julai lalu.

“Ini adalah satu cabaran dan pengiktirafan kepada USM kerana diberi kepercayaan menyelaraskan program ini, yang dirancang sebagai  pendedahan dan persediaan awal kepada bakal ahli akademik dari pelbagai sudut yang mendapat sambutan baik dengan  saringan permohonan yang lengkap meliputi lebih daripada 200 orang pemohon dari seluruh negara,” kata pensyarah dan penyelidik di IPPTN itu.

Tiga orang lagi pensyarah USM yang terlibat sebagai Penyelaras Bersama ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM Dr. Mohd Ghows Mohd Azzam, pensyarah Pusat Pengajian  Bahasa, Literasi dan Terjemahan Dr. Malini Ganapathy  dan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Dr. Norazharuddin Shah Abdullah.

Fasa 1 AKEPT YSP diadakan pada 29 Jun hingga 1 Julai 2016 lalu di kampus AKEPT Bandar Enstek.

Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Mohamad Kamal Hj. Harun berkata, ini adalah satu-satunya program yang dijalankan untuk persediaan kepada bakal ahli akademik yang meliputi latihan yang meluas, termasuk peluang praktikal bersama mentor masing-masing.

“Saya percaya program ini ialah inisiatif yang bakal membuahkan hasil positif dalam menyediakan ahli akademik yang berketrampilan, berkualiti kepimpinan dan relevan bagi IPT kebangsaan pada masa hadapan,” kata Mohamad Kamal.

Pelbagai tokoh dan fasilitator telah dijemput untuk memberi perkongsian pengalaman dan latihan dalam program Fasa 1, antaranya ialah Presiden, International Association of Universities dan Ahli Lembaga Penasihat AKEPT Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak; CEO, Putra Business School Prof. Dr. Arfah Salleh; Pengarah AKEPT Prof. Dr. Mohamad Kamal Hj. Harun; Timbalan Pengarah AKEPT Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani; pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Pemenang Anugerah Fame Lab Antarabangsa Dr. Abhi Veerakumarasivam  dan Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Danial Abdul Rahman.

Yang turut sama berkongsi pengalaman mereka ialah ahli ‘Young Scientists Network’ Prof. Madya Dr. Ong Boon Hoong dari Universiti Malaya (UM), Dr. Chau De Ming dari UPM dan Dr. Chai Lay Ching juga dari UM.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1396

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024