USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEDI-BIKE EXERCISER JOHAN PERTANDINGAN CABARAN INOVASI INKLUSIF ZON UTARA 2016

untitledbvb

USM, PULAU PINANG, 28 Oktober 2016 – Inovasi Kumpulan Inovatif dan Kreatif Galaksi R-3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta alat senaman dinamakan Medi-Bike Exerciser dipilih sebagai  Johan pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif Zon Utara anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melalui anak syarikat YIM Technology Resources Sdn. Bhd. (YTR) yang berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2016 di Alor Setar.

Selaras dengan hasrat USM menggalakkan budaya inovasi, Medi-Bike Exerciser dibangunkan sebagai  alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain oleh SIRIM.

Mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan selain turut mendapat tawaran daripada SME Cooperation  untuk komersilkan inovasi tersebut.

Ketua Kumpulan Galaksi R-3, Muhammad AkasyahBaharum, berkata, dengan terciptanya alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama, lebih ramai pesakit dapat menjalani rawatan, pemulihan yang lebih cepat. 

untitleddf

"Strukturnya yang ringkas serta boleh dilaras mengikut kedudukan dan ketinggian pesakit bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada pesakit tetapi juga dapat mengekalkan postur tubuh badan yang ergonomik," jelasnya.

Medi-Bike Exerciser juga menjadi 10 projek terbaik inovasi negara anjuran MOSTI, Anugerah Emas ICQCC di Bangkok Thailand, Naib Johan Konvensyen Universiti Awam Malaysia, dan Naib Johan Sektor Awam KIK Team Excellent anjuran MPC.

Program Cabaran Inovasi Inklusif 2016 yang menarik 18 penyertaan daripada zon utara memberi peluang kepada masyarakat yang mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam mencari inovasi inklusif yang mampu menyelesaikan masalah dari segi kepenggunaan, kesihatan, produktiviti dan pendidikan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1239

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024