USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AKTIVIS SUKARELAWAN USM TERIMA ANUGERAH PINGAT EMAS NAIB CANSELOR

  DSC5878

USM, PULAU PINANG, 26 Oktober 2016 – Aktivis sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Zurianah Ismail, 24, menerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Pemimpin Pelajar Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen ke-54 USM hari ini.

Anugerah berkenaan diterima oleh Siti Zurianah pada majlis perasmian ConvEx 2016 yang disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kewangan Islam) ini turut menzahirkan rasa bersyukur kerana terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

Katanya, minat terhadap kerja-kerja sukarelawan ini telah menjadi sebagai jiwanya dalam membantu mereka yang memerlukan memandangkan beliau juga berasal dari keluarga yang susah.

“Kehidupan sebelum saya menjejakkan kaki di universiti telah banyak mengajar saya tentang erti sebuah kepayahan hidup memandangkan bapa saya hanya seorang penoreh getah dan saya juga mempunyai seorang adik Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Jadi dari situ, saya merasakan perlu membantu mereka yang memerlukan dan saya mahu buktikan bahawa faktor kemiskinan bukanlah penghalang bagi saya untuk mencipta kejayaan pada hari ini,” kata penerima Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa 2015 ini.

Jelas penerima biasiswa Diraja Negeri Johor ini, walaupun sibuk dalam aktiviti kesukarelawanan sehingga membawanya hingga ke enam buah negara di Asia dan baru pulang dari Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Perancis di bawah Projek 'Kitchen in Calais', bidang pengajian tidak akan diabaikan.

 DSC5908

“Saya mengejar masa kerana setiap detik waktu itu amat berharga bagi saya. Saya akan fokus dan sentiasa menyediakan senarai semak setiap tugasan yang perlu diselesaikan serta saya akan pastikan setiapnya diselesaikan dalam tempoh yang diberikan.

Anak kelahiran Labis, Segamat Johor ini memikul tanggungjawab sebagai Felo kepada YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani pada Jun yang lepas.

Kini, Siti Zurianah menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan Islam di USM.

Majlis Konvokesyen USM pada tahun ini menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,941 graduan dan jumlah itu termasuk Ijazah Kehormat seorang, Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) 275 orang, Ijazah Sarjana (1,000), Ijazah Sarjana Muda (4,579), dan Diploma Kejururawatan (87).

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1307

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024