USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERHASRAT SAMBUNG BELAJAR DI PERINGKAT DOKTOR FALSAFAH

DSC 4144

USM, PULAU PINANG, 25 Oktober 2016 - Kurtar Kaur, 59, berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah setelah beliau berjaya mengharungi cabaran dan bergraduasi dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Kurtar yang ditemani suami, Mani Perumal, 56 dan dua anak perempuan Shirin Mani, 23 dan Diyaa Mani, 28 ketika ditemui mengucapkan syukur kerana berjaya sampai ke tahap ini.

“Saya tidak berpeluang untuk belajar di usia remaja kerana ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan dan kemudian saya tanamkan dalam diri untuk menyambung pengajian selepas memulakan kerjaya,” kata Kurtar.

“Selepas mendapat pekerjaan dan berumahtangga sekali lagi saya tidak menyambung pengajian kerana memberikan tumpuan kepada penjagaan anak-anak dan keluarga namun saya teruskan cita-cita dan dalam usia 54 tahun saya berjaya menggengam segulung ijazah dari sebuah universiti swasta dalam negara,” tambah Kurtar yang berasal dari Kulim, Kedah dan bekerja sebagai Eksekutif di Intel Corporation.

Diyaa yang juga baru tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda berbangga dengan kejayaan ibunya yang dapat bergraduasi dalam tempoh yang ditetapkan.

“Ibu menjadi contoh kepada kami dan juga memberikan motivasi untuk terus menjulang impian dalam pelajaran,” kata Diyaa ketika ditemui selepas Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen ke-54 USM yang dipengerusikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1246

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024