CANSELOR TITAH WARGA USM KREATIF HADAPI MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 23 Oktober 2016 – Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah menyeru agar warga USM berfikir secara kreatif dan tidak jumud dalam mencari jalan baharu untuk mengatasi apa jua halangan yang ada.
”Langkah pertama harus dimulakan bagi merintis percubaan demi percubaan sehinggalah berjaya dan saya yakin bahawa seluruh ahli akademik dan warga USM memiliki semangat dan iltizam yang tinggi untuk menghadapi perubahan dan persaingan global demi meningkatkan kualiti dan keberkesanan produk USM,” titah baginda semasa Majlis Anugerah Sanggar Sanjung di sini.
Baginda juga percaya bahawa USM akan terus meneroka teknologi yang lebih maju, selamat dan efisyen bagi penciptaan alat dan kemudahan untuk kesejahteraan rakyat.
“Sesungguhnya, inilah nilai terpenting keberadaan kita di sini iaitu menunaikan tanggungjawab kepada bangsa dan negara dengan memastikan kelestarian hari esok melalui usaha-usaha yang diambil pada hari ini yang akan membolehkan ekonomi negara terus berdaya saing serta membawa manfaat yang maksimum kepada manusia sejagat,” tegas baginda lagi.
Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, semua pihak perlu menggembleng tenaga bersama-sama, menggunakan segenap kekuatan keilmuan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih realistik menterjemahkan kepakaran dan kekuatan yang ada melalui quadruple helix yang melibatkan hubungan kukuh kerajaan-industri-universiti-komuniti.
“Ini bermakna kita bukan sahaja perlu memperkasakan usaha-usaha dalam penyelidikan dan penerbitan serta sitasi yang dirujuk dan diguna dalam konteks keilmuan tetapi juga mentransformasi usaha dalam bentuk yang dapat menghasilkan kekayaan baharu negara terutamanya yang dapat menarik industri dan agensi luar untuk melabur dalam kerja-kerja akademik kita serta meningkatkan kolaborasi dan kekuatan bersama-sama pelbagai pihak lain selain dari hanya bergantung kepada dana awam.
“Hasil pemikiran dan keilmuan yang ada mestilah diterjemahkan dalam bentuk menjana pendapatan dan membolehkan hasil penyelidikan dan inovasi kita dikomersilkan dengan merancang, menstrategi dan bertindak terus, belajar daripada orang lain dan bekerja dengan mereka lain di seluruh dunia,” kata Asma.
Pada majlis tersebut DYMM Raja Perlis itu turut menyampaikan Anugerah Sanggar Sanjung Kategori Ketokohan kepada Profesor Dr. Aileen Tan Shau Hwai.
Turut berangkat ke majlis ini ialah DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis.
Majlis yang memberikan penganugerahan kepada lebih 200 orang warga USM ini turut dihadiri oleh Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Speaker Dewan Undangan Perlis Dato’ Hamdan Bahari.
Naib Canselor turut menyampaikan anugerah-anugerah Sijil Penghargaan Khas, Anugerah Pentadbir Sanjungan Kategori Pengurusan dan Profesional di samping Anugerah Pendidik Sanjungan dan Anugerah Sanjungan Industri dan Khidmat Masyarakat.
Anugerah-anugerah lain termasuklah Anugerah Sanggar Sanjung untuk Kategori Penerbitan Jurnal dan Penerbitan Buku yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan serta Anugerah Sanggar Sanjung Kategori Paten dan Kategori Geran Penyelidikan Antarabangsa yang disampaikan oleh Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1054