USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADIKAN KASIH SAYANG SEBAGAI INSPIRASI KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

DSC 4182

USM, PULAU PINANG, 24 Oktober 2016 - Para graduan diminta untuk menjadikan nilai kasih kekeluargaan sebagai satu inspirasi untuk mewujudkan masyarakat yang sejahtera.

Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dr. M. Jegathesan berkata, jadikan kasih sayang sebagai inspirasi untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera di sekeliling kita dengan memanfaatkan ilmu pengetahuan untuk masyarakat dan negara seperti  kasih sayang dan cintakan ilmu yang memberi kekuatan untuk para pensyarah dan ilmuwan berkongsinya dengan para siswazah.

DSC 4200

DSC 4180

“Saya percaya kejayaan pada hari ini seharusnya didedikasikan kepada ibu bapa dan keluarga yang berkorban untuk kejayaan saudara-saudari selama ini apatah lagi dalam dunia hari ini yang segalanya makin tinggi harganya untuk kita miliki, tetapi ada satu perkara yang sebenarnya percuma untuk kita beri dan terima, tetapi selalu kita lupa dan abaikan iaitu kasih sayang yang sebenarnya tidak memerlukan kos apa-apa selain daripada perhatian, ekspresi diri dan bagaimana kita tunjukkan dalam kehidupan seharian,” katanya berucap kepada 848 orang siswazah dalam Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen Ke-54 di sini.

Sementara itu, berucap pada Sidang Keempat Upacara Konvokesyen Ke-54 USM pada sebelah petangnya, Jegathesan menyeru agar para graduan sentiasa berusaha membantu masyarakat melalui pelbagai disiplin ilmu yang ada terutamanya untuk merapatkan jurang komunikasi dan menghadapi pelbagai cabaran hidup masa kini.

DSC 4196

“Kita perlu membantu dalam merapatkan jurang kehidupan dalam aspek kesihatan mental dengan kadar peningkatannya yang amat membimbangkan dan merapatkan jurang komunikasi di antara sesama kita apatah lagi dalam keadaan dan cabaran di mana masyarakat di seluruh dunia begitu tertekan dengan cabaran hidup terutamanya ekonomi dan politik serta  perlu seimbangkannya dengan keperluan untuk membangunkan kesihatan mental yang lebih baik dan harmoni,” katanya kepada 720 orang graduan yang menerima ijazah di sini.

Tambahnya lagi, semua pihak perlu bersama-sama terlibat mendidik masyarakat untuk lebih memahami di antara satu sama lain, bersikap tenang dan tahu mencari jalan keluar tatkala berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup.

“Para siswazah juga perlu mengatur hidup yang seimbang di antara mengejar kejayaan dengan membangunkan kehidupan keluarga dan masyarakat sejahtera kerana institusi keluarga masih penting untuk kita manfaatkan dalam berkongsi kasih sayang dan rasa bahagia dan jangan abaikan kekluarga, sentiasa berpegang teguh kepada nilai agama dan kepercayaan yang ada dalam mencari petunjuk ketika menghadapi cabaran hidup,” tegas Pro Canselor USM itu lagi.

DSC 4265

Yang hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail serta ahli-ahli Senat USM.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1069

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024