USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FOKUS PENDIDIKAN YANG SEIMBANG

 DSC6590

USM, PULAU PINANG,24 Oktober 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan memberi fokus kepada menghasilkan siswazah yang seimbang di antara menguasai ilmu pengetahuan dengan pembangunan sahsiah diri serta mengadunkan di antara Sains dengan Sastera yang bersifat holistik.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, dalam menghadapi apa jua cabaran yang ada, seluruh warga USM tidak boleh lupa kepada asas dan fundamental penubuhannya berinspirasikan sistem pusat pengajian yang berbeza dengan universiti lain serta menekankan kepada pengajian antara disiplin sebagai teras memperkayakan ilmu pengetahuan para pelajarnya, berteraskan kepada nilai-nilai murni seperti moral, etika, integriti, dan profesionalisme dalam apa jua bidang yang diceburi. 

Beliau berucap kepada 275 orang graduan pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen Ke-54 yang dipengerusikan oleh Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. 

DSC 3538

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

“Saya sedar betapa perkembangan teknologi, dalam hampir seluruh kehidupan kita, terutamanya dalam ICT atau Komunikasi Teknologi Maklumat telah memberi kesan besar kepada perkembangan ekonomi, industri, politik dan sisi kehidupan lainnya yang amat pesat.

DSC 3661

Menyaksikan persembahan pelajar baru-baru ini yang menggembleng pelbagai kaum dan pengajian sains dan sastera sebagai DNA USM yang berkonsep kerjasama antara bidang untuk menjayakan satu projek dengan cemerlang dalam semangat  1 Malaysia yang tidak kira kaum untuk mempersembahkan hikayat Melaka waktu silam telah menunjukkan hakikat sebenar dunia realiti bahawa dalam sains ada sasteranya dan dalam sastera ada sainsnya dengan integrasi kedua-duanya bagi memastikan graduan Universiti Apex yang unik dan dalam kelasnya tersendiri untuk menghasilkan graduan yang holistik dan seimbang antara akhlak dan ilmunya,” kata Asma.

Jelasnya lagi kerana itu, USM sentiasa melihat keharmonian integrasi sains dan sastera ini sebagai kekuatan di antara kehebatan penguasaan teknologi dan ilmu sainsnya, dalam bidang Perubatan dan Kesihatan, Teknologi dan Sains Komputer mahu pun Kejuruteraan dalam pelbagai disiplin dengan pembinaan jiwa manusia dan kemanusiaannya dalam pengajian-pengajian Seni, Sastera, Muzik, Kemasyarakatan, Pengurusan dan Komunikasinya serta budaya yang kesemuanya perlu diadun bersama-sama dan penting dalam memastikan USM menghasilkan siswazah yang mampu berfikiran kritikal untuk mencari penyelesaian masalah yang hebat dari segi “Hi-Tech” nya dan dengan pembangunan jiwa dari segi “Hi-Touch” nya yang seiring, sejalan dan seimbang untuk meneruskan agenda memastikan dalam Sains ada Sastera, Seni dan budayanya, begitu juga sebaliknya.

DSC 3656

DSC 3648kji

“Kita bukan hanya bercakap tentang pembangunan ilmu dalam STEM – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik tetapi STEAM dengan A di situ mewakili komponen yang dianggap bukan Sains iaitu “Arts”. Inilah yang kita namakan sebagai sebuah universiti yang dirujuk, dihormati dan relevan kerana pelajarnya berilmiah, berakal budi yang terus berupaya membina masyarakat yang sejahtera, berbudi pekerti dan berbudi bahasa.

“Kita akan teruskan agenda ini dengan menjajarkan fokus dan perancangan kita dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) untuk menggerakkannya,” tegas Asma lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dr. M. Jegathesan, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan, mantan Naib Canselor USM yang juga Presiden Persatuan Alumni USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan mantan Naib Canselor USM Dato’ Dr. Ishak Tambi Kechik.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1074

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024