USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERHARU TERIMA IJAZAH ANAK

DSC 3965vf

USM, PULAU PINANG, 24 Oktober 2016 - "Dia tidak pernah menghampakan saya dan sanggup berkorban masa demi menjaga saya semasa sakit walaupun ketika itu sibuk untuk menghadapi peperiksaan dan menyiapkan tugasan akhirnya sebagai pelajar Ijazah Sarjana Sastera (Tamadun)."

Demikian kata bapa kepada Allahyarham Muhammad Kamilfaiz, 28, Mohamad Nor Mohamad, 60, menceritakan kembali kenangan manis yang ditinggalkan anaknya yang disifatkan amat sukar untuk beliau dan keluarga lupakan.

Allahyarham Muhammad Kamilfaiz meninggal dunia akibat terjatuh di Masjid Seri Petaling, Selangor ketika majlis gotong-royong sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada September tahun lalu.

Katanya, anak kedua daripada lima adik-beradik ini sangat taat kepada ibu bapa dan sentiasa menjaga hubungan baik dengan adik-adiknya serta rajin dan aktif dalam membantu komuniti setempat terutama dalam menyebarkan dakwah agama Islam.

DSC 3974gt

"Jika hayatnya masih ada, arwah sepatutnya sudah mendaftarkan diri untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah pada Mei yang lepas kerana cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah selepas tamat pengajian nanti," katanya dalam satu sidang media sempena penyampaian Ijazah Anumerta kepada Arwah anaknya di sini, hari ini.

Ijazah berkenaan diterima oleh Muhammad Nor pada sidang kedua Majlis Konvokesyen ke-54 Universiti Sains Malaysia (USM) yang disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail.

Majlis Konvokesyen USM pada tahun ini menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,941 graduan dan jumlah itu termasuk Ijazah Kehormat seorang, Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) 275 orang, Ijazah Sarjana (1,000), Ijazah Sarjana Muda (4,579), dan Diploma Kejururawatan (87).

Text: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 732

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024