USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRESIDEN TORAY INDUSTRIES PENERIMA IJAZAH KEHORMAT SEMPENA UPACARA KONVOKESYEN KE-54 USM

 DSC5640

PULAU PINANG, 23 Oktober 2016 – Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi Toray Industries, Dato’ Akihiro Nikkaku adalah penerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan sempena Upacara Konvokesyen ke-54 Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan bermula esok.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, penganugerahan itu bagi menghargai sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan USM dengan industri selama ini.

web banner nikato2

“Beliau banyak memberikan sumbangan melalui pelaburan besar yang dibuat dan sumbangan untuk pelbagai tujuan termasuk pembinaan bangunan Toray USM Knowledge Transfer Centre,” tambah Asma.

  DSC5664

Katanya, istiadat penganugerahan sidang pertama akan disempurnakan oleh Raja Perlis merangkap Tuanku Canselor USM, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan pengijazahan kepada 276 graduan, manakala Sidang 2 hingga Sidang 8 oleh tiga Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dan Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Sehingga kini, USM telah mempunyai seramai 159,423 orang alumni meliputi 26,199 graduan ijazah tinggi dan 133,235 orang graduan ijazah pertama.

“Untuk tahun ini USM bakal menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 5,941 graduan dan jumlah itu termasuk Ijazah Kehormat seorang, Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) 275 orang, Ijazah Sarjana (1,000), Ijazah Sarjana Muda (4,579), dan Diploma Kejururawatan (87),” katanya dalam satu sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-54 USM, serentak memperkenalkan graduan-graduan cemerlang dan istimewa USM, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM dan Pendaftar, Profesor Dato' Dr. Abdul Aziz Tajuddin.

 DSC5591

 DSC5744

Antara graduan yang turut hadir ialah penerima Hadiah Pingat Emas Canselor bagi pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan, Lim Yen Ruen – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik).

Selain itu, turut hadir dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia (Pelajar terbaik dalam segala lapangan), masing-masing Mohd Hijan Mohd Razali – Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik bagi kategori Bumiputera dan Benedict Weerasena A/L Samarasena – Ijazah Sarjana Muda Ekonomi bagi kategori Bukan Bumiputera.

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU) Terbaik, Norhamizah Idros – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektronik) turut sama hadir dalam majlis hari ini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1558

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024