USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELAB PENYAYANG USM JUARA PIALA SUKARELAWAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA 2016

14725695 1197621530298878 4349713374968701567 n

BANGI, 23 Oktober 2016 - Kelab Penyayang Universiti Sains Malaysia (USM) telah dinobatkan sebagai Juara Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia 2016 buat kali ke-2 (juara bertahan) sejak pertandingan ini dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang pada tahun 2014 dan meraih geran pembangunan komuniti berjumlah RM25,000 selepas berjaya menandingi dengan 11 Universiti Awam dan Universiti Swasta yang lain.

Kemenangan yang diraih ini bersandarkan kepada idea projek komuniti yang dicadangkan oleh Kelab Penyayang USM yang menfokus kepada keperluan semasa komuniti yang dipilih iaitu golongan anak-anak yatim yang berada di Wisma Yatim Perempuan Persekutuan Pulau Pinang yang merupakan “rumah angkat” kepada kelab itu.

Projek yang diberi tajuk “Transformasi Permata Penyayang” telah mengenengahkan keperluan dan kepentingan aktiviti rekreasi, pertanian dan pendidikan ke arah pembangunan anak-anak yatim di rumah yatim tersebut. 

14695606 1197621580298873 8665085392509644243 n

Tiga sub-projek utama yang disasarkan menfokus kepada penyediaan taman permainan mini, aktiviti penanaman hidroponik serta penyediaan dan penyelenggaran kelas tuisyen untuk anak-anak yatim di rumah tersebut.

Menurut Penasihat Kelab Penyayang USM, Profesor Dr. Azlinda Azman yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, ahli-ahli Kelab Penyayang USM ini telah menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dalam menyumbang kepada komuniti dan Wisma Yatim ini adalah rumah angkat kelab di mana hampir setiap minggu pelajar telah bergilir-gilir berkunjung untuk memberi bimbingan pembelajaran dan berinteraksi dengan anak-anak yatim yang ada di sana. 

"Hasil daripada kunjungan dan interaksi yang berterusan ini telah mencetuskan idea dalam kalangan ahli-ahli kelab membantu membentuk program dan aktiviti yang dapat meningkatkan lagi keyakinan, sokongan sosial dan pembangunan menyeluruh anak-anak yatim ini," katanya.

Tambah beliau, projek ini telah memberi impak besar kepada kumpulan sasaran dan pada masa yang sama ia membentuk "experiential learning" yang bermakna kepada pelajar untuk memahami keperluan komuniti setempat, meningkatkan kemahiran pencarian sumber, kemahiran merancang dan mengorganisasi, mengasah kemahiran interpersonal dan pengembangan kreativiti pelajar-pelajar. 

"Yang paling utama, pelajar telah menimba pengalaman untuk belajar bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain, terutamanya dalam menggembleng idea dan kemahiran kerana Kelab Penyayang USM terdiri daripada pelajar pelbagai disiplin seperti Sains Kemasyarakatan, Ekonomi, Sains Kajihayat, Pengurusan, Perumahan, Bangunan & Perancangan, Seni, Sains Fizik, Ilmu Pendidikan dan sebagainya.

14702244 1197621566965541 8140393777429112472 n

"Pengetahuan dan kemahiran pelbagai disiplin inilah yang telah diaplikasikan dalam merealisasikan projek yang lebih berkesan dan pengalaman ini semestinya dapat melatih pelajar untuk mengiktiraf kekuatan disiplin lain dan kepentingan untuk bekerjasama dalam menjayakan apa jua projek demi pembangunan komuniti yang bermakna,” jelas lanjutnya.

Sementara itu, Yang DiPertua Kelab Penyayang USM, Mohammad Rusydi bin Abdul Samat yang turut berbangga dengan sumbangan idea, masa dan tenaga dalam melaksanakan projek komuniti ini dengan jayanya berkata, ini adalah satu pengalaman yang unik buat kami di Kelab Penyayang dan pastinya menyemarakkan lagi usaha kami untuk pembangunan komuniti setempat di samping melonjakkan lagi nama USM. 

Anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Kamel bin Mohamed.

Turut sama mengiringi Kelab Penyayang USM menerima anugerah tersebut adalah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Syazwani Drani.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1259

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024