USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BATU KARANG BUKAN PEMUSNAH KEHIDUPAN

1477038263209

KUBANG KERIAN, 20 Oktober 2016 - Dianggarkan dua daripada 10 orang di negeri Kelantan yang berumur lebih 40 tahun ke atas menghadapi masalah batu karang.

Batu karang urinari adalah sejenis penyakit berpunca daripada pembentukan kristal halus yang termendap dan terkumpul dalam sistem urinari yang mana komposisi utamanya terdiri daripada beberapa jenis garam galian.

Menurut Pakar Urologi, Jabatan Surgeri Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dato' Dr. Azhar Amir Hamzah, pembentukan batu karang boleh terjadi di mana-mana bahagian sistem urinari.

"Ini termasuk buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang boleh mengakibatkan sistem urinari tersumbat menyebabkan buah pingang menjadi bengkak 'hidronefrosis' seterusnya merosakkan penapis-penapis mikro iaitu nefron dalam buah pinggang sehingga akhirnya mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang 'Cronic Renal Failure'," kata beliau dalam temubual bersama stesen radio tempatan di sini pagi tadi.

Tambah Azhar, antara punca yang menyumbang adalah corak pemakanan, ada sesetengah makanan lebih cenderung untuk pembentukan batu karang, kurang pengambilan air masak, penyakit paras urik asid dan kalsium terlalu tinggi serta jangkitan kuman dalam sistem urinari selain daripada faktor genetik. Risiko seseorang itu mendapat serangan penyakit batu karang berulang adalah tinggi jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Secara amnya batu karang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu batu karang kalsium, batu karang urik asid dan batu karang struvite. Ada yang boleh dilihat melalui x-ray dan ada yang tidak, semua ini adalah kandungan mineral dalam badan manusia.

Simptom penyakit ini berbeza-beza bergantung kepada kedudukan, saiz, jenis batu karang. Bagi batu karang dalam buah pinggang, pesakit akan merasa sakit belakang, di samping demam yang berulang, kencing tidak lawas, kencing berdarah dan kencing yang kerap.

Kaedah mengesan batu karang adalah melalui ujian air kencing, ujian darah atau kaedah pengimejan seperti 'x-ray', 'ultrasound' dan 'CT scan'.

Azhar menjelaskan, terdapat pelbagai kaedah rawatan secara perubatan dan pembedahan yang dapat membantu pesakit dalam mengubati penyakit ini pada masa kini.

"Antara rawatan awal bagi batu karang adalah secara kaedah 'follow up' bagi saiz batu karang yang kecil, atau dengan pengambilan ubat anti urik asid untuk menurunkan paras urik asid.

"Hospital USM adalah antara sebuah hospital yang menyediakan rawatan terkini 'Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy' (ESWL) di Pantai Timur, yang mana kaedah rawatan memecahkan batu karang dengan cara laser atau ultrasound tanpa memerlukan sebarang pembedahan serta kaedah rawatan 'Endoscopy' yang juga tanpa pembedahan dengan cara memasukkan alat melalui saluran air kencing dan batu karang dihancurkan melaluinya," ujar beliau.

Azhar turut menasihati masyarakat agar jangan takut menghadapi penyakit ini, sebaiknya jika ada yang mengalami simptom-simptom berkaitan, segeralah mendapatkan rawatan awal dan Hospital USM ada menyediakan segala kemudahan untuk tujuan ini.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 4563

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024