USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EMPAT KUMPULAN WAKIL USM KE KONVENSYEN TEAM EXCELLENCE PERINGKAT KEBANGSAAN 2016

untitledMBJM

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Oktober 2016 – Kumpulan GPP-DS, LEAN KRK, Genius Eleven dan Fast merupakan wakil Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya melayakkan diri ke Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya International Convention Centre pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Kumpulan GPP-DS dan LEAN KRK merupakan wakil bagi kategori ‘Lean’ atau kejat sementara Genius Eleven dan Fast pula mempertaruhkan projek kumpulan mereka bagi kategori Kumpulan Inovatif & Kreatif.

GPP-DS yang mempertaruhkan projek “Pemerkasaan 'Discharge Summary' Pesakit Di Hospital USM” dan LEAN KRK pula dengan tajuk projek “Mengurangkan Masa Menunggu Pesakit Bertemujanji (TCA) Mendapatkan Rawatan Di Klinik Rawatan Keluarga (KRK) Hospital USM” berjaya merangkul anugerah Emas dalam Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah Timur 2016 yang berlangsung pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Kejat Kampus Kesihatan USM, Mohd Saberi Mohd Yusoff berkata, penyertaan dua kumpulan yang mewakili USM bagi kategori pengurusan kejat diharap mendapat tempat di hati juri untuk mengharumkan nama USM.

1477004802748

“Pelaksanaan projek yang dijalankan oleh dua kumpulan ini merupakan satu impak besar kepada USM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit walaupun dengan bajet yang terhad.

“Amalan pengurusan kejat ini juga mampu melahirkan para penjawat awam yang cekap dan inovatif dalam memberi perkhidmatan yang pantas demi keselesaan serta kemudahan pesakit dengan mengoptimumkan sumber kewangan tetapi perkhidmatan tidak terjejas malahan lebih baik lagi,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Kumpulan Inovatif & Kreatif Kampus Kesihatan USM, Mohd Fahme Zainal Abidin pula berkata, kumpulan Genius Eleven daripada Hospital USM mempertaruhkan projek mereka yang bertajuk ‘Kesukaran Sesi Pembelajaran Semasa Pemeriksaan Nystagmus  Pesakit Vertigo’ manakala kumpulan Fast daripada Institut Perubatan Pergigian Termaju (IPPT) USM dengan tajuk projek mereka ‘Drip Sensor’.

1477004803039

“Genius Eleven berjaya mencipta ‘Perfect Cam’ iaitu alat bagi memudahkan sesi pembelajaran pelajar perubatan semasa pemeriksaan mata yang dikenali sebagai simptom nystagmus bagi pesakit yang mengalami vertigo iaitu keseimbangan badan terganggu yang menyebabkan rasa pening.

“Fast pula mengetengahkan projek mereka yang direka khas untuk mengesan kehabisan infusi dan mengelakkan air embolism berlaku semasa terapi infusi intravena. Ia akan berbunyi apabila kehabisan cecair infusi intravena di bilik pesakit dan juga berbunyi di kaunter jururawat,” jelasnya.

1477004802332

Ditanya mengenai persiapan, Mohd Fahme menjelaskan bahawa kesemua kumpulan yang mewakili USM telah membuat persiapan rapi dan akan memberikan persembahan yang terbaik, yakin dan sentiasa positif kerana semua yang berjaya ke peringkat kebangsaan terdiri daripada kumpulan yang terbaik.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Sekretariat Kualiti Kampus Kesihatan USM.

  • Created on .
  • Hits: 1266

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024