USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BARISAN MPPUSM DISERU SUPAYA JADI YANG TERBAIK DAN TERKEHADAPAN

 DSC4892

USM, PULAU PINANG, 19 Oktober 2016 – Barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) bagi sidang akademik 2016/2017 diseru supaya sentiasa menjadi yang terbaik dan terkehadapan dalam pelbagai aspek.

Demikian jelas Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika memberi amanatnya dalam Majlis Penyerahan Watikah dan Lafaz Ikrar MPPUSM sidang 2016/2017 di sini, hari ini.

Katanya, sebagai sebuah universiti yang pertama mendapat gelaran APEX dan juga yang pertama di negara ini dikenali dengan jenama kelestariannya, pelajar dan warga USM khususnya perlu sentiasa terkehadapan dan berada pada kedudukan yang pertama.

“Salah satu agenda masa hadapan USM dalam mencapai APEX 2020 ialah pembangunan bakat dan menzahirkan Universiti Global dengan para pelajar yang berjiwa dan berbudaya global. Para pemimpin pelajar ini hendaklah tidak membataskan diri dengan apa yang ada di dalam negara tetapi perlu bersedia untuk mengambil peluang dalam pelbagai bidang dari seluruh pelosok dunia,” tambahnya.

Jelas Asma, pemimpin pelajar yang telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan, mereka haruslah mempunyai visi dan misi yang jelas di samping perlu ketepikan perbezaan ideologi dan persengketaan.

 DSC4896

“Semua barisan MPPUSM perlulah bersatu hati dan menggembleng tenaga bersama-sama tanpa mengira latar belakang bidang pendidikan demi membangunkan nama universiti yang kita cintai ini,” katanya.

Di samping itu, Asma turut menyeru supaya melibatkan sama pelajar-pelajar antarabangsa dalam program yang dianjurkan supaya dengan keberadaan mereka juga boleh memberikan sumbangan dalam sesuatu program yang dijayakan.

“Saya mengharapkan barisan MPPUSM sidang ini akan menganjurkan program-program yang berimpak tinggi dan berkualiti kepada para pelajar contohnya program-program flagship seperti Novel Research and Innovation Competition (NRIC) yang menunjukkan salah satu program yang dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar USM,” jelasnya lagi.

 DSC4797

Barisan MPPUSM bagi sidang 2016/2017 terdiri daripada 45 orang ahli termasuk lapan orang Exco daripada Kampus Kejuruteraan USM dan tujuh orang dari Kampus Kesihatan USM dan seorang yang mewakili Kampus KLE-USM di India.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1055

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024