USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INGRAW PLATFORM UNIK BINCANG PEMBANGUNAN PENGURUSAN ISLAM GLOBAL

  DSC4931

PULAU PINANG, 19 Oktober 2016 - Bengkel Siswazah Antarabangsa ISDEV (INGRAW) 2016 yang masuk kali ke-11 penganjurannya memberi gambaran yang signifikan kepada keupayaan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan usaha akademik secara konsisten dan lestari.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ketika berucap merasmikan INGRAW 2016 di Dewan Persidangan Universiti hari ini.

Menurut Asma, kesinambungan daripada ciri-ciri INGRAW yang lalu mempunyai sekurang-kurangnya empat keunikan atau platform tertentu iaitu menjadi medan latihan kepada pelajar siswazah mewacanakan kajian tesis atau disertasi; pelajar siswazah berpeluang mendapat pendedahan menulis dan menghasilkan makalah secara sepenuhnya; makalah dibentangkan dan setiap satunya diulas oleh pensyarah yang mempunyai kepakaran bidang terlibat; dan pelajar siswazah dapat menimba pengalaman dan pengetahuan dalam menganjurkan pertemuan akademik seumpama ini.

 DSC4945

“Kesemua ini dapat menyumbang kepada usaha USM untuk menghasilkan siswazah yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang yang membuktikan bahawa untuk cemerlang dalam pencapaian akademik, siswazah tidak semestinya hanya semata-mata menumpukan sepenuh masa pengajian kepada tesis atau disertasi masing-masing tanpa membina sebarang bentuk kemahiran lain seperti berorganisasi dalam menganjurkan sesuatu program dan membina jaringan serta rangkaian,” katanya ketika berucap di depan hampir 100 orang peserta.

Tambah Asma, ISDEV perlu juga memberi fokus kepada penerbitannya ke arah menggunakan teknologi digital seperti E-Book dalam era digital kini serta kajian-kajian serta tesis-tesis ditukarkan ke dalam bentuk video ringkas untuk disebarkan.

 DSC4934

Dalam majlis ini Asma turut melancarkan 7 buah buku terbitan ISDEV iaitu Pembangunan Berteraskan Islam: Evolusi Pembangunan Masa Kini; Konsep, Strategi dan Pelaksanaan Pengurusan Berteraskan Islam; Pengurusan Pembangunan Islam: Pembangunan Insan dan Tadbir Urus; Isu-isu Kontemporari Pengurusan Aset Islam; Pengurusan Ilmu: Kaedah Penyelidikan Berteraskan Islam dan Falak Syarie; Islamic Banking and Finance: The Contemporary Issues; dan Islamic Service Management: The New Paradigm.

isdev16

Yang turut hadir adalah Pengarah ISDEV Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM Profesor Dr. Azman Samsudin, Pengurus Komunikasi Korporat Jambatan Kedua Sdn Bhd Azizi Azizan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang En. Mohd Khairi Ghazali, Pengurus NC Bon Enterprise Kenny Bon dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni USM Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 929

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024