USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOHD HAZIM TEKAD JAYAKAN APEX USM

 DSC4785


USM, PULAU PINANG, 19 Oktober 2016 - Hasratnya ialah untuk mencurah bakti kepada orang lain sebagai satu kepuasan diri hasil didikan universiti yang menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) ini.

Demikian cita-cita peribadi pelajar Pusat Pengajian Sains Fizik, 21, Mohd Hazim Abdul Manaf yang dipilih sebagai Yang Di-Pertua baharu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) bagi sidang akademik 2016/2017.

"Yang utama dalam hidup ialah berbakti kepada orang lain kerana itulah kepuasan yang tidak ternilai bila dapat berkhidmat dan membantu masyarakat melalui pelbagai cara dan pendekatan yang berbeza," kata Hazim, anak bongsu daripada dua beradik yang dilahirkan di Kulim, Kedah dan dibesarkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam sebelum melanjutkan pengajian di Matrikulasi Changlun bertekad untuk membawa Majlis Perwakilan Pelajar USM pada sidang kali ini untuk berusaha menzahirkan hasrat universiti melahirkan mahasiswa HEBAT serta membentuk mahasiswa USM yang mempunyai identiti tersendiri di samping meneruskan usaha menjaga kebajikan mahasiswa.

"Saya dan rakan-rakan di dalam MPPUSM sidang ini akan terus berusaha  bergerak seiring dengan universiti dalam menjayakan setiap usaha yang dibuat dalam menjayakan misi  kelestarian yang menjadi semangat APEX selama ini dalam memacu kecemerlangan masa hadapan," kata pelajar Fizik tahun 3 Fizik Gunaan tersebut.

Dalam barisan kepimpinan MPPUSM kali ini, jawatan NYDP 1 pula disandang oleh Mohd Uzair Ahmad, NYDP 2 Tan Kar Yap, NYDP 3 Sutarsan A/L Chandran, Setiausaha Agung Farah Aniis Azeera Azeman dan Bendahari Tan Chun Yung.

Kira-kira 8,220 orang pelajar USM telah membuat pemilihan MPP baharu bagi ketiga-tiga kampus dengan menggunakan rangkaian elektronik e-Pilih buat kali pertama pada 13 Oktober lalu melibatkan 29 kerusi iaitu 6 kerusi umum dan 23 kerusi Pusat Pengajian.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 2266

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024