USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NCMHS – MEDAN PERTEMUAN, PERBINCANGAN DAN PERTUKARAN MAKLUMAT ANTARA PENYELIDIK

untitledgfh

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2016 – National Conference On Medical and Health Sciences (NCMHS) atau Persidangan Kebangsaan Sains Perubatan dan Kesihatan kali ke-21 merupakan medan pertemuan, perbincangan dan pertukaran maklumat ilmu terkini dalam bidang yang berkaitan kerana berjaya mengumpulkan para penyelidik dari seluruh Malaysia.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau percaya persidangan ini adalah kelangsungan daripada tradisi keilmuan universiti dalam memasyarakatkan ilmu pada semua peringkat sama ada dalam kalangan mahasiswa, calon pascasiswazah mahupun masyarakat seluruhnya.

“Dalam dunia perubatan hari ini, perubahan cepat berlaku dan maklumat tersebar dengan begitu pantas. Cabaran juga besar dengan perkembangan dan isu semasa yang menuntut kita mencari jalan penyelesaian secepat mungkin termasuklah dalam isu-isu seperti imunisasi dan vaksin mahu pun penyakit-penyakit baharu.

untitlednbvn

“Walau bagaimanapun, telah muncul golongan yang menentang penggunaan vaksin dan giat mempromosikan keburukan vaksin. Pelbagai pendekatan mereka gunakan untuk mengesyorkan agar tidak mendapatkan vaksin termasuk pendekatan kepercayaan dan agama,” katanya kepada lebih 100 peserta persidangan yang terdiri daripada penyelidik USM, Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu.

Tambah Asma, kesan daripada penentangan itu, beberapa penyakit yang sejak sekian lama berjaya dibendung melalui imunisasi vaksin, kini muncul semula dan berpotensi menjadi wabak, contohnya Difteria.

untitledgbhgf

“Di sinilah munculnya tanggungjawab sosial yang setiap daripada kita boleh sumbangkan melalui kepakaran yang ada iaitu ilmu, kemahiran dan fasiliti.

“Kita perlu terus berusaha menyumbang dari segi penyelidikan, pembangunan produk dan intervensi kesihatan menerusi bidang masing-masing untuk dunia perubatan dan penjagaan kesihatan hari ini,” ujarnya lagi.

Asma berkata, mendepani cabaran isu kesihatan global ini bukan mudah, persaingan daripada doktor, saintis dan pengamal perubatan segera yang ditauliahkan oleh media sosial juga sering mengeruhkan keadaan.

“Antara kepercayaan kepada profesionalisme atau pakar viral media sosial, masyarakat kini mudah terkeliru. Justeru, saya mengharapkan hasil daripada ilmu yang dikongsi dalam NCMHS kali ini dapat dihebahkan kepada masyarakat umum.

untitledgfhg

“Pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang ada perlu memainkan peranan menghebahkan perkara yang sebenar dan memberikan sumbangan yang lebih besar untuk tujuan tersebut. Lebih banyak penemuan, usaha penyelidikan dan wacana ilmu boleh dilakukan secara berterusan,” tegas Asma.

Yang turut hadir dalam persidangan ini ialah Pengarah Kanan Kesihatan Oral KKM, Dr. Noor Aliyah Ismail; Ahli Lembaga Gabenor USM, Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif; Pengarah Kampus Kesihatan dan Penolong Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1233

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024