USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED LAHIRKAN LEBIH RAMAI GRADUAN TERJEMAHAN MENGISI KEPERLUAN PASARAN KERJA

IMG 0533vgh

PULAU PINANG, 16 Oktober 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi yang ditawarkan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai penterjemah dan jurubahasa yang mampu mengisi keperluan tenaga profesional dalam bidang terjemahan dan interpretasi yang mempunyai potensi global.

“Hal ini dapat dilihat daripada hampir 100% graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Terjemahan dengan Interpretasi) [BATI] yang berijazah tahun ini telah mendapat pekerjaan dalam bidang berkaitan dalam pelbagai industri dan organisasi di dalam dan juga di luar negara,” kata Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein mewakili Naib Canselor USM di majlis perasmian pembukaan Seminar Terjemahan dan Interpretasi Kebangsaan (STI) 2016 di sini kelmarin.

Tambah Adnan lagi, ini juga menunjukkan program BATI ini telah berjaya menghasilkan graduan berkualiti yang menunjukkan kecemerlangan di peringkat antarabangsa (global excellence) dan relevan kepada negara (national relevance) dengan menyumbang kepada negara sebagai pengantara dalam aspek pemindahan ilmu, bahasa, budaya dan sosial serta pembinaan tamadun bangsa.

“Selain itu, kita juga ingin menghasilkan graduan yang bukan sahaja berilmu, berkemahiran dan mempunyai pencapaian akademik yang tinggi, tetapi juga mempunyai nilai-nilai etika yang tinggi khususnya dalam profesion terjemahan dan interpretasi ini.

“Pendek kata, seperti program pengajian lain, pengajaran dan pembelajaran terjemahan dan interpretasi di USM telah dijajarkan selari dengan tiga agenda besar APEX 2020 USM iaitu global excellence, national relevance dan value-driven,” katanya.

IMG 0476

Adnan turut menyentuh beberapa cabaran yang akan dihadapi oleh pelajar terjemahan dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan antaranya penguasaan sekurang-kurangnya dua bahasa khususnya bahasa-bahasa negara ASEAN untuk memudahkan mobiliti antara negara-negara tersebut, memanfaatkan teknologi terkini dan perisian bantuan terjemahan untuk membantu mempercepatkan kerja terjemahan, dan menerokai kaedah pembelajaran fleksibel misalnya global classroom khususnya di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Terdahulu Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi merangkap Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI) PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong turut berbangga dengan kejayaan beberapa projek libatsama universiti-komuniti melibatkan pensyarah dari bahagian ini iaitu kolaborasi USM Dan Media Prima Berhad dalam penyediaan sari kata untuk orang pekak dan kurang pendengaran di Malaysia yang diketuai oleh pensyarah kanan PPIK, Dr. Leelany Ayob.

“Selain itu, saya berharap melalui UniTI yang baru ditubuhkan di PPIK ini, pelbagai usaha penyelidikan Pengajian Penterjemahan tulen dan terapan serta Interpretasi melalui pelbagai bentuk kolaborasi merentasi disiplin dengan melibatkan aneka pasangan bahasa dapat dijalankan demi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran terjemahan dan interpretasi secara menyeluruh,” kata Goh yang merupakan graduan BATI kohort pertama pada tahun 1992.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur STI 2016 yang juga pensyarah PPIK, Profesor Madya Dr. Haslina Haroon berharap seminar ini akan membuka ruang untuk para pelatih bidang terjemahan dan interpretasi untuk bertukar pendapat dan pengalaman tentang tatacara pengajaran yang terbaik dalam bidang ini, di samping meneroka pendekatan alternatif yang berpotensi tinggi untuk diterapkan.

Seminar dua hari anjuran UniTI PPIK bertemakan ‘Pengajaran dan Pembelajaran Terjemahan dan Interpretasi’ ini menghimpunkan hampir 70 orang peserta yang terdiri daripada ahli bahasa, penterjemah dan jurubahasa, penulis, penerbit, editor, pengajar dan pelajar dengan sejumlah 32 kertas kerja dibentangkan.

Dalam majlis yang sama, Adnan turut menyempurnakan pelancaran buku karya staf BATI iaitu dua buku penyelidikan, satu buku himpunan bab, dua alat bantuan terjemahan (Glosari Undang-undang Jenayah dan Glosari Undang-undang Kontrak) dan empat karya terjemahan, serta pelancaran laman sesawang UniTI iaitu https://humanities.usm.my/index.php/discover-us/sections/translation-studies-interpreting.

Yang turut hadir ialah Dekan PPIK Profesor Dr. Narimah Samat dan pembentang ucaptama yang juga pensyarah PPIK Prof. Madya Dr. Hasuria Che Omar.

USM merupakan institusi pengajian tinggi awam pertama di Malaysia yang menawarkan program ijazah sarjana muda dalam terjemahan dan interpretasi. Kini program Sarjana Sastera (Pengajian Penterjemahan) Mod Campuran ditawarkan di kampus Induk USM dan juga secara pesisir di IPS@Kuala Lumpur.

Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024