HANG TUAH SEBAGAI WIRA BUDAYA MELAYU NEGARA
PULAU PINANG, 15 Oktober 2016 - Hang Tuah adalah wira budaya Melayu yang perlu terus diabadikan dalam ingatan masyarakat. Berdasarkan pelbagai rujukan termasuk karya-karya agung seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin dengan Hang Tuah menepati ciri-ciri sedemikian.
Menurut Profesor Kesusasteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Seri Md. Salleh Yaapar, semua bangsa dan budaya besar dunia mempunyai wira budayanya sendiri, yang tidak semestinya hidup tetapi menepati ciri-cirinya tersendiri sebagai ikon keunggulan bagi sesuatu bangsa.
Jelasnya, seorang wira budaya hidup merentasi ruang dan masa, mempunyai tarikan universal malah sentiasa berada dalam psiki dan memori sesuatu bangsa untuk merangsang bangsa itu untuk maju ke hadapan.
"Setiap bangsa dan tamadun besar mempunyai wira budaya yang diperturunkan kisahnya zaman berzaman, dibaca, diulangi, dilestari dan dipertahankan sebagai harga diri dan jati diri yang tiada ternilai tingginya.
"Semua bangsa yang bermaruah di Timur dan di Barat melakukan usaha ini untuk wira budaya mereka sebagai faktor yang membolehkan mereka menonjolkan harga diri dan mempertahankan jati diri sepanjang masa, di mana sahaja," tegas Md. Salleh.
Beliau memberikan pandangannya dalamforum Hang Tuah Dalam Wacana Mutakhir anjuran Kelab Sastera dan Kelab Sejarah USM di sini malam tadi yang dihadiri oleh hampir 300 orang terutamanya pelajar yang memenuhi dewan.
Tegasnya, berdasarkan naskhah-naskhah buku dan kajian yang dibuat dengan melihat kepada ciri-ciri ketokohannya termasuk tentang kepahlawanan, kebijaksanaan dan ketaatannya, Hang Tuah menepati ciri wira budaya Melayu dan masih banyak yang perlu dibuat untuk memartabatkannya.
Hang Tuah dikatakan menguasai 12 bahasa, kepahlawanannya yang merentasi benua - Rom, India, China serta banyak negara lain, menguasai ilmu aqli dan batiniah yang hebat dengan bukti ketaatan dan kesetiaan yang mendalam terhadap rajanya.
Terdahulu, ahli akademik dan penyelidik diJabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi Universiti Putra Malaysia Profesor Emeritus Dr. Hashim Musa membincangkan hasil penyelidikan beliau yang mengesahkan bukti bahawa Hang Tuah benar-benar wujud dan dikatakan berusia sekitar lapan puluhan apabila Melaka diserang Portugis melalui bukti-bukti di Jepun dan Portugis melalui tajuk Hang Tuah Wira Bangsa Wujud dalam Sejarah.
Turut menjadi panel ialah mantan ahli akademik sejarawan dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Abdul Rahman Ismail yang memberikan beberapa fakta kritikal dari perspektif sejarah dalam tajuk yang sama dengan meneliti dari segi nama, gelaran, perwatakan, rakaman masa, tokoh dan sebagainya terutamanya dengan merujuk kepada pelbagai versi Sulalat Al-Salatin atau Sejarah Melayu.
Wacana yang dipengerusikan oleh mantan ahli akademik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM Dr. Ahmad Jelani Halimi merumuskan bahawa walaupun dari perspektif sejarah mempunyai pelbagai tafsiran berdasarkan bukti-bukti yang ada, banyak kisah-kisah yang perlu dilihat dalam tafsiran yang lebih tepat, namun bersetuju dan menerima yang Hang Tuah sebenarnya wujud.
"Tidak munasabah apabila terdapat pendapat yang mempertikaikan kewujudannya walaupun tafsiran yang dibuat adalah berbeza-beza berdasarkan naskhah-naskhah penerbitan dan penulisan di pelbagai tempat sama ada di Indonesia, Jepun, China, India mahu pun di negara ini," kata Md. Sallehtentang perkara ini.
Tegasnya lagi, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk terus menghidupkan watak wira budaya ini mahu pun sebagai tokoh dalam konteks sejarah di negara ini sedangkan di Indonesia sudah lama usaha seperti ini dibuat termasuk sebuah universiti menggunakan namanya yang menawarkan pengajian dalam bidang maritim iaitu Universitas Hang Tuah Surabaya.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 3515