USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIMA CALON MPP KAMPUS KESIHATAN MENANG TANPA BERTANDING

1476678477352

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Oktober 2016 - Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang akademik 2016/2107 di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menyaksikan lima daripada tujuh calon MPP menang tanpa bertanding.

Salah seorang pemenang bagi calon Konstituensi Umum, Mohd Afhzan Amanah, 22, pelajar tahun tiga Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), menyifatkan kemenangan ini merupakan satu tangungjawab besar kepada diri beliau.

"Rasa amanah dan tanggungjawab ini amat berat untuk dipikul, namun saya amat mengharapkan sokongan dan dorongan daripada semua bagi menjayakan agenda yang dibawa.

1476678477680

"Perancangan saya selaras dengan manisfesto iaitu 'Melangkah Bersama Mahasiswa', jadi saya ingin membawa Kampus Kesihatan USM ke satu tahap yang baharu dari aspek kebajikan dan kemudahan pelajar, selain turut mengharapkan semua yang menang melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan memberikan yang terbaik untuk Kampus Kesihatan," kata beliau.

Mohd Afhzan turut berpendapat sistem pengundian baharu iaitu e-Pilih yang kini digunapakai amat baik dan efisyen kerana ia menggunakan sistem online yang memudahkan proses pengundian, menjimatkan masa dan data yang tepat serta keputusan pemenang dapat diperolehi dalam dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu bagi Farah Liana Zainuddin, 26, pelajar Sarjana Sains Perubatan (Sains Sukan) tahun dua, PPSK yang juga menang tanpa bertanding bagi Calon Konstituensi Institut Pengajian Siswazah (IPS) turut memberi harapan yang sama.

1476678477560

"Syukur Alhamdulillah saya menang tanpa bertanding, cuma saya tidak dapat merasai suasana sebenar pertandingan, namun begitu, saya tetap gembira dalam menjalankan amanah yang diberikan ini," ujarnya.

Tambah Farah, beliau akan memastikan perancangan untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar pasca siswazah terutama daripada aspek penginapan, yuran pengajian dan sukan peringkat sarjana antara universiti akan terlaksana dengan jayanya.

Sementara itu, dua kerusi konstituensi umum yang dikhaskan kepada PPSK menampilkan tiga pencalonan yang melibatkan proses pengundian. 

Menurut Ketua Jawatankuasa Pilihanraya Kampus Kesihatan USM, Hafiz Assad Zakaria, seramai 1330 pelajar PPSK layak untuk membuang undi pada sesi pengundian yang dijalankan hari ini.

"Peratusan pelajar PPSK yang keluar mengundi pada hari ini adalah 41.2 peratus iaitu melibatkan seramai 549 pelajar dan mereka telah mengundi calon pilihan melalui sistem yang pertama kali diperkenalkan oleh USM iaitu e-pilih.

"Proses pengundian berjalan dengan lancar dan calon yang memenangi kerusi konstituensi umum di PPSK telah diumumkan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim mewakili Pengarah Kampus, Profesor Dato' Dr Mafauzy Mohamed pada kira-kira jam 6.30 petang tadi selepas tamat proses pengiraan undi", jelas Hafiz Assad.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024