USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELUARGA SAKINAH DAMBAAN SEMUA SUAMI ISTERI

1476287495068

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2016 – Mempunyai keluarga yang sakinah atau harmoni merupakan dambaan setiap pasangan suami isteri, akan tetapi untuk merealisasikannya bukanlah satu perkara yang mudah kerana di tengah arus kehidupan pada masa sekarang, jangankan untuk membina rumah tangga yang sakinah, untuk mempertahankan keutuhan rumah tangga adalah merupakan satu trofi kejayaan.

Pensyarah Perubatan Unit Perkembangan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zaharah Sulaiman yang juga Pengarah Seminar Keluarga Samara Sakinah Mawaddah Wa Rahmah yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Wanita (HELWA) berkata, setiap orang perlu merenungi bagi melakukan refleksi diri sama ada kita sudah berjalan pada koridor yang diinginkan oleh Allah SWT dalam menjalankan kehidupan berumah tangga atau belum.

1476287495181

“Terdapat pelbagai cara untuk kita membina sebuah keluarga yang sihat, rumah tangga yang baik iaitu dengan membuat perancangan dan memastikannya mencapai sasaran yang tepat sebagaimana yang diharapkan.

“Untuk mencapai kejayaan dalam membina sebuah rumah tangga yang sakinah perlulah ada contoh yang boleh kita ikuti sebagaimana seorang muslim, contoh yang boleh kita ikuti ialah daripada Rasulullah SAW dalam membina rumah tangga yang bahagia,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Zaharah, setiap orang di dunia ini akan mempunyai tujuan dan keinginan untuk masa depan mereka kerana terdapat lima keperluan utama manusia iaitu keperluan penggubal dasar, perlu rasa kebahagiaan, perlu disayangi dan menyayangi, perlu dihargai, dan keperluan untuk aktualisasi diri.

“Tujuan perkahwinan adalah untuk mengecapi kebahagiaan dan setiap manusia di dunia ini mahukan perkahwinan yang abadi dan sempurna kerana permulaan kehidupan manusia terbentuk daripada sebuah keluarga.

1476293862783

“Lima tips untuk mewujudkan keluarga bahagia iaitu komunikasi yang lancar, menerima kelebihan dan kelemahan pasangan, rasa saling mempercayai antara suami isteri serta rasa percaya adalah satu perkara yang sukar untuk dibangunkan, sentiasa memberi kritikan malahan cadangan yang membangunkan kepada suami dan isteri agar berkomunikasi dengan baik supaya tidak segan untuk menyatakan perasaan hati masing-masing dan membina hubungan yang rapat dengan Allah adalah sangat penting,” katanya.

Zaharah berkata, untuk memupuk keharmonian hidup berumahtangga, setiap suami isteri hendaklah mematuhi dasar-dasar hukum yang digariskan oleh Islam agar terhindarlah perkara-perkara yang tidak diingini kerana Islam telah mengingatkan bahawa isteri adalah amanah daripada Allah dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya.

“Bagi pihak isteri pula, Allah telah menegaskan bahawa mereka wajib mentaati suami pada jalan Allah dan haram bau Syurga sekiranya mereka menderhaka terhadap suami selagi si suami patuh dan taat kepada landasan hukum Islam.

“Islam amat mengambil berat dalam membentuk keluarga yang penyayang dan kita digalakkan untuk saling tolong menolong untuk membina keluarga yang harmoni serta mengikuti landasan agama dan terus berusaha ke arah kebaikan,” tambahnya lagi.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1072

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024