USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAKSANA SISTEM e-Pilih PEMILIHAN MPPUSM YANG TELUS, CEKAP DAN BERKESAN

EAM 1603

USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2016 – Untuk pertama kalinya, pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2016/2017 akan menggunakan rangkaian sistem yang dinamakan e-pilih yang telus, cekap dan berkesan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, sistem ini menggunakan daftar pemilih pelajar-pelajar berdaftar yang layak berbuat demikian melalui e-pemilih yang dihubungkan kepada Rangkaian Sistem Maklumat USM (Local Area Network) yang boleh dilakukan dengan cepat melalui penggunaan kad pengenalan diri pelajar.

“Setelah disahkan oleh sistem e-pemilih, pelajar akan dibenarkan mengundi melalui sistem e-pilih iaitu kaedah elektronik yang lebih efisyen serta menjimatkan masa dan mengurangkan kesilapan dan kerosakan semasa proses memilih,” jelas Adnan setelah menyaksikan sesi percubaan terakhir sistem dengan menggunakan pelajar dari ketiga-tiga kampus USM di Pulau Pinang, Nibong Tebal dan Kubang Kerian.

EAM 1692

Sesi yang dihadiri dan disaksikan sama oleh Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Asma Ismail ialah untuk menguji sistem dan kelancaran perjalanannya.

“Keseluruhannya kami berpuas hati dan yakin sistem ini akan berjalan lancar dan keputusan akan diketahui sekitar jam 6.00 petang esok di Dewan Utama Pelajar, berbanding dengan sebelum ini mengambil masa sehingga lewat malam,” kata Adnan.

EAM 1775

Seramai 14,315 orang pelajar berdaftar USM di ketiga-tiga kampus utama USM akan keluar membuat pemilihan bermula jam 9.00 pagi di sembilan pusat pemilihan di enam lokasi iaitu empat di Kampus Induk Pulau Pinang dan masing-masing satu di Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan.

Di kampus induk, seramai 27 orang calon bertanding dalam pemilihan kali ini yang melibatkan enam kerusi konstituensi umum dan 23 kerusi konstituensi pusat pengajian.

EAM 1799

EAM 1807

Sementara itu Ketua Pegawai Teknologi Maklumat Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi USM, Zulham Hamdan menjelaskan sistem ini dibangunkan oleh kira-kira 50 orang kakitangan dalaman dalam masa sebulan dengan menggunakan sepenuhnya kepakaran dan peralatan yang ada di universiti.

“Sistem ini dibangunkan dengan mementingkan kepada ketelusan dan ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan bersedia menghadapi apa jua masalah yang mungkin timbul apatah lagi setelah diuji beberapa kali sebelum dilaksanakan.”

pilihanraya57y5

“Sistem ini menggantikan kaedah semi manual yang dipanggil e-kira yang dijalankan dalam proses pemilihan MPPUSM sebelum ini,” katanya.

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1063

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024