USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ILMU, PERANCANGAN DAN STRATEGI PENTING MENJAYAKAN AGENDA USM – NC

IMG 0124

USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2016 – Ilmu, perancangan dan strategi yang mantap sangat penting untuk menjayakan agenda besar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melonjakkannya sebagai sebuah universiti APEX dan Universiti Penyelidikan yang tersohor melalui kecemerlangan melalui acuan atau excellent by design

Demikian jelas Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapannya merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1438H peringkat USM di sini, hari ini.

Katanya, peristiwa hijrah mengajar bahawa kejayaan bergantung pada perancangan yang rapi yang bermakna kita perlu lakukannya mengikut acuan sendiri untuk melahirkan umat yang berpegang teguh kepada Islam, nilai-nilai hidup, dan penuh kebijaksanaan yang tinggi dan tidak hanya menyerahkan segalanya kepada takdir.

IMG 0111

“Kejayaan untuk mencapai apa jua perancangan yang dibuat bergantung kepada kekukuhan persaudaraan seperti yang ditunjukkan oleh generasi pertama hijrah yang mengorbankan apa sahaja demi  Islam yang merentasi kaum dan kumpulan,” jelasnya.

Asma turut menyeru supaya warga USM mengambil semangat dari peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dalam mengukuhkan semangat ukhuwah yang ada untuk meneruskan usaha memajukan USM.

asma23

“Marilah kita bekerja bersama-sama dan menghijrahkan diri kepada kekuatan ilmu pengetahuan yang ada untuk benar-benar melahirkan pemimpin dalam moto Kami Memimpin,” tambahnya.

Pengarah Pusat Islam USM, Dato’ Profesor Muhammad Idiris Salleh berkata, pemilihan tema Maal Hijrah pada tahun ini bertepatan dalam memperkasakan ukhuwah Islamiah berdasarkan kemelut perpecahan yang melanda sebahagian besar masyarakat Islam kini.

“Dalam menangani masalah tersebut, Pusat Islam mengambil inisiatif untuk menganjurkan wacana terbuka kepada para pelajar ini dalam menangani permasalahan tentang pendekatan wasatiah,” katanya.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438H kepada pakar ubat-ubatan herba dari Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Zhari Ismail.

Zhari menerima wang tunai bernilai RM5,000.00 beserta trofi, seutas jam tangan dan sijil penghargaan.

Seramai 11 orang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah dalam tiga kategori iaitu Akademik, Pengurusan dan Profesional dan Sokongan. Antara penerima anugerah ini Penasihat Undang-undang USM, Dr Khairul Anuar Che Azmi.

Selain itu,  penghargaan khas Pusat Islam diberikan kepada 10 orang staf dan ahli qaryah yang banyak membantu pengurusan aktiviti Pusat Islam antaranya staf dari Jabatan Keselamatan, Ramachandran Subramanian.

Penerima Anugerah Kecemerlangan diberikan seutas jam tangan, sijil penghargaan dan wang tunai RM2,000.00 manakala Penghargaan Khas Pusat Islam menerima seutas jam tangan, sijil penghargaan dan wang tunai RM500.00.

IMG 0261

Yang hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 893

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024