USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESAN TRAUMA DALAM KANAK-KANAK BOLEH BERLAKU SEHINGGA TEMPOH DUA TAHUN

untitledgfyj

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2016 - Kesan trauma dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku sehingga tempoh dua tahun selepas tragedi. Berdasarkan kajian yang dibuat di Thailand selepas tsunami terdapat lebih kurang 15% daripada kanak-kanak sekolah yang masih mengalami trauma walaupun tsunami tersebut telah berlaku dua tahun sebelumnya.

Pensyarah dan Pakar Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dr. Maruzairi Husain berkata tidak semua mangsa yang terlibat dalam tragedi akan mengalami trauma.

"Ramai daripada mereka mungkin mengalami trauma secara sekejap iaitu 'Adjustment Disorder' atau 'Acute Stress Reaction' namun lebih kurang 25% daripada keseluruhan mangsa akan mengalami trauma yang berpanjangan," katanya semasa menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM pagi tadi.

untitledfthtr

Berdasarkan kajian beliau di bawah Geran Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi berkenaan dengan kesan psikologi mangsa banjir 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Temangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai mendapati pelajar-pelajar sekolah masih lagi mengalami trauma walaupun kajian tersebut telah dibuat selepas enam bulan banjir berlaku.

Menurut Maruzairi, terdapat beberapa faktor yang memberi kesan psikologi ke atas mangsa banjir kanak-kanak di Kelantan iaitu terpaksa berpindah daripada rumah, tinggal di pusat pemindahan, kesukaran selepas banjir seperti kemusnahan rumah, harta benda dan peralatan persekolahan.

"Kanak-kanak tidak dapat memberitahu perasaan mereka yang sebenar seperti murung, sedih, takut dan sebagainya akibat kesan trauma namun ia boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku mereka yang berbeza daripada biasa," ujarnya.

untitleddght

Tambah Maruzairi, bagi mendekati kanak-kanak yang trauma perlu ada seni berkomunikasi yang baik dan persediaan dari segi pengetahuan tentang bantuan kecemasan psikologi kerana kanak-kanak perlu pemerhatian yang teliti untuk memahami mereka.

"Kaedah yang perlu dilakukan adalah seperti menyantuni mereka dengan mendengar sepenuh perhatian, melindungi mereka kerana mereka adalah golongan yang lemah dan cuba menghubungkan mereka dengan komuniti tertentu atau bawa mereka ke tempat yang boleh menghilangkan perasaan trauma seperti padang permainan dan sebagainya," katanya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz latif

  • Created on .
  • Hits: 1421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024