USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UA PERTAMA MALAYSIA RINTIS PROGRAM CO-TUTELLE PhD BERSAMA UNIVERSITE DE LORRAINE (UL) PERANCIS

1475808625830

USM, PULAU PINANG, 9 Oktober 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi perintis kepada Program Co-Tutelle PhD di antara Universiti Awam (UA) di Malaysia bersama  Universite De Lorraine (UL) Perancis sejak tahun 1999 dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) rasmi pada tahun 2002 melalui Pusat Pengajian Sains Kimia.

Dekannya, Profesor Dr. Afidah Abdul Rahim berkata, kerjasama akademik ini melibatkan juga usaha penyelidikan yang dijalankan mengikut jadual yang dipersetujui bersama serta satu sesi Viva di USM atau di UL.

Afidah merupakan calon pertama yang bergraduasi pada awal tahun 2006.

Sehingga kini enam orang calon telah bergraduasi dengan empat daripada mereka adalah pensyarah USM iaitu Profesor Dr. Afidah Abdul Rahim, Dr. Noor Hana Hanif Abu Bakar, Dr. Mohd Hazwan Hussin masing-masing dari Pusat Pengajian Sains Kimia dan Dr. Tuti Katrina Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

Menurut Afidah, program ini  memberi banyak faedah kepada kedua-dua buah universiti seperti penjimatan kos kerana mendapat pembiayaan dari pihak Kedutaan Perancis, penerbitan bersama dalam jurnal berimpak tinggi, latihan, pendedahan penyelidikan berkualiti kepada pelajar, pembangunan bakat masa hadapan, kolaborasi yang berterusan serta pertukaran ilmu yang berkaitan teknologi terkini.

“Program Co-Tutelle ini akan diteruskan dengan melibatkan calon pelajar dari pusat pengajian lain di USM seperti Pusat Pengajian Teknologi Industri, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa yang dijangka  menghantar calon pelajar ke UL,” jelas Afidah.

Co-Tutelle ialah pengajian peringkat kedoktoran yang melibatkan penyeliaan bersama oleh penyelia dari kedua-dua universiti yang terlibat dan graduan akan dianugerahkan dua ijazah berasingan dari kedua-dua universiti berkenaan.

Tambah Afidah, program ini berjaya kerana salah satu keunikan di UL adalah mereka tidak akan melepaskan calon pelajar begitu sahaja sebaliknya membantu pelajar tersebut dalam pengembangan karier sehinggalah mendapat pekerjaan kerana latihan yang diberikan UL adalah yang terbaik.

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah/Mazlan Hanafi Basharuddin

  • Created on .
  • Hits: 1480

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024