USM KAMPUS KESIHATAN RAI PERSARAAN PROFESOR DR. AHMAD ZAKARIA
KUBANG KERIAN, 8 Oktober 2016 - Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Ahmad Zakaria yang telah berkhidmat lebih 25 tahun di Universiti Sains Malaysia (USM) tidak pernah lokek untuk memberi tenaga dan masanya demi universiti.
Berucap di majlis persaraannya, beliau berkata, dalam tempoh itu banyak perubahan positif dapat dilihat dan hasilnya amat memberangsangkan serta membanggakan.
Beliau tidak menafikan bahawa kini mampu mengukir senyuman melihat perkembangan pesat universiti terutamanya peningkatan program akademik berbanding di awal penubuhannya.“Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa universiti yang kita bina ini sedang membangun dan mampu bersaing dengan universiti lain,” katanya.
Yang hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang juga isteri kepada Ahmad Zakaria.
Sejarah kerjaya Ahmad Zakaria di USM bermula pada tahun 1987 sebagai pensyarah di beberapa pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Sains Fizik, Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Beliau adalah Ketua Jabatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi di bawah Pusat Pengajian Sains Perubatan dan dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik) di PPSK pada awal tahun 2007 selama tiga bulan sebelum dilantik sebagai Dekan PPSK pada tahun yang sama hasil kecemerlangan beliau dalam memimpin PPSK.
Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed pula melahirkan rasa sedih kerana USM telah hilang sesuatu berharga dengan persaraan staf yang sangat berwibawa dan begitu komited dalam menjalankan tugas.
“Walaupun kita kehilangan seorang yang banyak menyumbang jasa pada USM tetapi USM masih memerlukan khidmat nasihat dari mereka dan saya yakin USM amat berterima kasih kepada yang diraikan kerana telah sama-sama membangunkan USM setaraf dengan universiti tempatan mahupun antarabangsa,” jelas Mafauzy.
Pendaftar USM Profesor Dato' Dr. Abdul Aziz Tajuddin, Bendahari USM Dr. Rohayati Md. Isa, Dekan-dekan serta kira-kira 500 orang warga Kampus Kesihatan turut memeriahkan majlis tersebut.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 2317