USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GSB JALANKAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT TERHADAP GOLONGAN ISTIMEWA

USM, PULAU PINANG, 6 Oktober 2016 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Sains Malaysia (GSB USM) bekerjasama dengan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang enggan dikenali meneruskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan berkhidmat kepada komuniti yang kurang bernasib baik dan wajar menerima bantuan.

Seramai 20 sukarelawan yang terdiri daripada warga GSB melakukan pelbagai aktiviti dalam membantu golongan istimewa ini untuk berdikari di samping menyediakan keperluan kepada mereka seperti peralatan untuk fisioterapi bagi penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sg Tiram, Bayan Lepas Pulau Pinang.

Dekannya, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, usaha ini adalah kelangsungan daripada khidmat komuniti yang dijalankan oleh pihak GSB kepada masyarakat terutamanya kepada golongan istimewa ini.

“Sememangnya diketahui USM merupakan sebuah universiti mesra OKU. Oleh yang demikian, pihak GSB mengambil peluang ini untuk memberikan khidmat sosial terhadap mereka dan berharap dapat meneruskan khidmat komuniti ini pada masa hadapan,” kata Azlan selepas majlis penyerahan peralatan rehabilitasi kepada Pusat Pemulihan Komuniti (PDK) Sg Tiram hari ini.

PDK ini di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi perkhidmatan kepada golongan istimewa dalam membentuk mereka supaya berdikari di samping mengajar anak-anak istimewa ini menguruskan diri mereka.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Syed Yusof Syed Kechik.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 949

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024