USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKIT BENDERA BERPOTENSI DIIKTIRAF RIZAB BIOSFERA UNESCO

IMG 0002

PULAU PINANG, 5 Oktober 2016 – Bukit Bendera, salah satu tarikan pelancongan berkonsepkan alam semulajadi di negeri ini berpeluang tinggi diiktiraf sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia berikutan usaha sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama The Habitat Penang Hills, Penang Hills Corp, Jabatan Perhutanan Negeri dan beberapa agensi lain yang komited mengumpul data untuk penyediaan dosir bagi dikemukakan kepada pihak UNESCO.

Saintis Pusat Pengajian Sains Kajihayat merangkap Pengarah Pusat Inkubasi USM, Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Noor berkata, Bukit Bendera yang memiliki puncak tertinggi di Western Hills iaitu 833 meter dari aras laut mempunyai keunikan biodiversiti yang amat penting untuk dipelihara.

IMG 0008

“Inisiatif pemuliharaan dan pemeliharaan biodiversiti ini perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia dilihat semakin terancam impak dari aktiviti sosio-ekonomi manusia termasuk pertanian, pembangunan dan sebagainya.

“Bukit Bendera mempunyai kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan, antara yang unik adalah spesis orkid hutan dan pokok-pokok konifer. Pun begitu orkid misalnya, dilihat semakin berkurangan atas pelbagai faktor termasuk dipetik secara tidak terkawal untuk pelbagai tujuan,” katanya.

Justeru katanya, pewartaan dalam Rizab Biosfera UNESCO membolehkan kegiatan ekonomi berjalan seiring dengan inisiatif pemeliharaan bagi mengekalkan biodiversiti, selain menambah data saintifik terhadap spesis-spesis unik lain yang berpotensi ditemui.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena penganjuran simposium The Launch: Canopy Science & Forest Conservation in Penang di sini hari ini yang dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah.

Yang turut hadir ialah Pengarah The Habitat Penang Hills, Reza Cockrell.

IMG 0010

Kerjasama berkenaan turut mendapat perhatian dari rakan saintis terkemuka termasuk dari Amerika Syarikat (USA), Australia dan Hong Kong yang bersetuju membantu dalam pelbagai aspek khususnya penyediaan data saintifik dan perkongsian kepakaran.

Pembentang ucaptama yang dibawakan khas dari California Academy of Sciences, USA, Profesor Dr. Margaret D. Lowman berkata, beliau teruja dan komited berkongsi pengalamannya untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai pusat penyelidikan kanopi bertaraf antarabangsa.

Pakar ekologi kanopi yang telah banyak terlibat dalam penyediaan laluan kanopi di serata dunia itu menegaskan, kanopi hutan adalah sebahagian besar kawasan yang belum diterokai dan mempunyai rahsia alam tersendiri.

IMG 0015

IMG 0031

“Justeru, melalui rangkaian strategik ini memberi peluang keemasan untuk kami di peringkat saintis menemukan pelbagai perkara baharu yang dapat membantu dalam usaha memelihara hutan hujan khususnya Bukit Bendera yang sangat cantik, unik dan istimewa,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1336

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024