USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMPENA HARI JANTUNG SEDUNIA: ORANG RAMAI DIGESA SUMBANG UNTUK TABUNG EHSAN KARDIOTHORASIK USM

14440979 1176032702457761 9131640482094390651 n

KUBANG KERIAN, 29 September 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui hospital pengajarnya Hospital USM (HUSM) kini memainkan peranan penting dalam menangani keperluan pesakit jantung apatah lagi dengan kejayaan melakukan pembedahan jantung terbuka yang pertama di Kelantan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada 6 November 2001.

Sejak itu juga USM terus memainkan peranan penting dalam merubah tatacara pembedahan pesakit jantung dan paru-paru di seluruh Pantai Timur.

Pakar Bedah Kardiothorasik, Profesor Dr. Mohamad Ziyadi Ghazali berkata, perkhidmatan surgeri kardiothorasik atau bedah jantung dan paru-paru di sini  bermula pada tahun 1996 yang ketika itu kemudahan rawatan jantung amat kurang di Pantai Timur sedangkan bilangan kes semakin meningkat.

untitledtuyyu

"Penubuhan unit tersebut sebagai  projek kecemerlangan universiti amat penting yang secara rasmi Unit Kardiothorasik ini dilancarkan  pada 13 Oktober 2003  berfungsi sebagai pusat rujukan surgeri kardiothorasik bagi Pantai Timur  serta sebagai pusat pembelajaran pelajar perubatan serta kejururawatan selari dengan peranan sebagai hospital pengajar," ujar beliau.

Unit Kardiothorasik HUSM dilengkapi dengan makmal Invasif Kardiologi bagi membolehkan pakar melakukan prosedur invasif seperti 'coronary angiogram', 'coronary angioplasty', 'pacemaker', 'implantation' dan sebagainya.

Selain itu terdapat juga Dewan Bedah Kardiothorasik, Unit Rawatan Rapi Kardiak dan Unit Rawatan Khas Kardiak dengan dua orang pakar bedah kardiothorasik, pakar bius kardiak dan kakitangan sokongan yang terdiri daripada 'perfusionist', jururawat dewan bedah dan jururawat di unit rawatan.

Menurut Ziyadi, sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini, Unit Kardiothorasik Hospital USM telah berjaya melakukan sebanyak 1,696 pembedahan iaitu pembedahan jantung (kardiak), pembedahan rongga dada (thorasik) serta pembedahan jantung pediatrik.

"Pada September 2013 hingga Februari 2015, unit ini juga turut melakukan pembedahan jantung pesakit pediatrik sebanyak 118 kes tetapi terpaksa dihentikan kerana ketiadaan pakar pediatrik walau bagaimanapun, melalui program Healing Little Heart Charity, 28 pembedahan pediatrik dijalankan di HUSM pada September 2015, Mac dan Ogos 2016, " tambah beliau.

untitleddtrgtht

Sepanjang 15 tahun penubuhan, pelbagai peristiwa penting turut menjadi catatan sejarah Unit Kardiothorasik HUSM iaitu penubuhan Persatuan Kardiothorasik Kelantan pada tahun 2003 yang  keahliannya terdiri daripada kakitangan yang terbabit di dalam memberi perawatan kepada pesakit kardiothorasik di Kelantan.

Selain daripada itu, Badan Keluarga Kardiothorasik Kelantan turut ditubuhkan pada tahun 2008 yang dianggotai oleh pesakit dan ahli keluarga. Ia ditubuhkan sebagai wadah sokongan kepada pesakit serta membantu dalam pencarian dana untuk pesakit yang tidak berkemampuan membiayai pembedahan.

Menyedari kesusahan yang dihadapi oleh pesakit jantung di Kelantan, Tabung Ehsan Kardiothorasik Kelantan bertemakan  'Ku Sulam Budi, Penawar Jantung' turut dilancarkan untuk membantu memendekkan proses mendapatkan bantuan kewangan bagi pesakit yang tidak mampu membayar kos pembedahan terutamanya pesakit yang mengalami kerosakan injap jantung dan melicinkan lagi proses perawatan pesakit.

Bersempena Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 September setiap tahun, Unit Kardiothorasik Hospital USM mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membantu kelangsungan hidup pesakit jantung terutamanya pesakit kanak-kanak. Semua sumbangan boleh disalurkan kepada Unit Kardiothorasik HUSM atau hubungi talian 09-767 6590.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Ihsan Profesor Dr. Mohamad Ziyadi Ghazali



  • Created on .
  • Hits: 1344

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024