USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELAJUAN MENJADI CABARAN INTERNET MASA HADAPAN

untitledhjuku

KUBANG KERIAN, 28 September 2016 - Internet berasal daripada gabungan perkataan 'inter' dan 'networking' yang merujuk kepada rangkaian yang dibina dengan menyambungkan rangkaian komputer di antara satu sama lain membentuk sebuah rangkaian yang sangat besar dengan menggunakan protokol yang sama.

Melalui rangkaian ini segala perkongsian maklumat dapat dilakukan dengan mudah dan cepat ke serata dunia melalui penggunaan aplikasi terkini berbeza dengan zaman sebelum ini penyebaran maklumat hanya dilakukan melalui telefon, teleks dan telegram yang terhad penggunaannya.

Menurut Pengasas Neutral Transmission Malaysia Sdn. Bhd, Dr. Mohamad Awang Lah, isu dan cabaran kepada dunia internet pada hari ini adalah tahap kelajuan internet di Malaysia. Pada tahun 1990-an Malaysia merupakan negara yang maju dalam sudut pembangunan ICT namun sejak kebelakangan ini agak ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Aplikasi penggunaan internet adalah seperti aplikasi penyebaran maklumat (World Wide Web), aplikasi pencarian maklumat, aplikasi pemindahan fail (FTP), aplikasi capaian jauh dan aplikasi komunikasi elektronik yang agak meluas digunakan seperti Whatssapp, WeChat, Twitter, Instagram dan lain-lain lagi.

untitledhku

“Ini dapat dilihat dari sudut perbandingan kepantasan internet terkini di beberapa buah negara di Asia yang mana Singapura merupakan negara yang menyediakan perkhidmatan kelajuan internet tertinggi iaitu 118 Million Bit Per Second (MBPS), Bangladesh 9.8 MBPS, Cambodia 9.2 MBPS, Laos 8.1 MBPS dan Malaysia di tempat ke-14 dengan kelajuan hanya 6.2 MBPS.

“Ini disebabkan persaingan yang tidak seimbang di antara syarikat-syarikat Network Facilities Provider (NFP), Network Service Provider (NSP) dan Aplication Service Provider (ASP) yang mengakibatkan kualiti dan kos jalur lebar yang tidak kompetetif,” katanya dalam Forum Cakna Teknologi  ICT: Memperkasakan Masyarakat Melalui IT yang berlangsung di Dewan Utama pagi tadi.

Tambahnya, berasaskan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA’98) terdapat tiga kategori lesen iaitu NFP, NSP dan ASP yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan penyediaan perkhidmatan internet.

Terdapat hampir 150 syarikat yang kebanyakannya mempunyai ketiga-tiga lesen tersebut dan syarikat-syarikat NSP dan ASP yang kecil terpaksa bergantung kepada syarikat NFP besar yang juga pesaing mereka yang mana NFP/NSP/ASP utama adalah milik kerajaan.

Mohamad Awang menjelaskan, bagi memastikan negara terus melangkah ke hadapan, penggunaan Gentian Optik amat perlu untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti.

“Gentian optik ‘dark fibre’ perlu wujud secara meluas untuk disewa oleh semua pembekal yang memerlukannya dan melalui perkongsian prasarana gentian optik ini nanti akan mengurangkan kos jalur lebar di mana setiap kabel mengandungi beratus helaian gentian optik yang boleh disewa oleh ramai penyedia perkhidmatan,” ujarnya.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 968

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024