USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEMAHAMI IMUNISASI SEBAGAI PERLINDUNGAN INSAN SEJAGAT

ghgb

KUBANG KERIAN, 27 September 2016 - Imunisasi yang merupakan satu kaedah menyediakan sistem imun kepada badan manusia untuk melawan penyakit dan meningkatkan ketahanan tubuh terhadap jangkitan kuman kini hangat diperkatakan dalam masyarakat.

Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia USM), Profesor Dr. Mohd Suhaimi Ab Wahab berkata, sistem imun badan manusia terdedah kepada sebahagian daripada kuman atau kuman yang telah mati atau dilemahkan.

"Sistem imun ini nanti akan mengingati kuman tersebut dan bersedia untuk bertindak segera apabila terdedah kepada kuman yang betul.

"Sistem imun manusia terbahagi kepada dua iaitu spesifik (sel darah putih dan antibodi) dan tidak spesifik (kulit, air liur dan asid dalam perut)," katanya dalam program Bicara Pakar.

Jelas Mohd Suhaimi, sejarah imunisasi pertama dilakukan oleh Edward Jenner pada tahun 1796, di mana cecair daripada pesakit cacar lembu diletakkan di atas luka seorang kanak-kanak kemudian beliau didedahkan kepada pesakit cacar (small pox) akhirnya beliau tidak dijangkiti penyakit cacar tersebut.

Proses penghasilan vaksin adalah daripada pembiakan organisma hidup, yang kebanyakannya adalah penyebab kepada penyakit berbahaya.

Tambah beliau, penghasilannya dijalankan dalam keadaan dikawal selia dengan rapi serta pengeluarannya tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang mana memakan masa 5 hingga 10 tahun dan menelan belanja jutaan ringgit.

Kebiasaannya imunisasi diberikan semasa bayi, di sekolah, semasa mengandung dan untuk mendapat visa ke Arab Saudi semasa menunaikan umrah dan haji yang mana kesan sampingan vaksin yang paling kerap adalah sakit di tempat suntikan dan demam.

Belia turut menjelaskan vaksin-vaksin tertentu sahaja yang mengandungi bahan daripada khinzir seperti Fluenz Tetra: vaksin influenza (Astra), MMR VaxPro: Vaksin untuk MMR (Sanofi), Zostavax: Vaksin untuk kayap (Merck), Rotarix (GSK) dan Rotateq (Merck) vaksin untuk Rotavirus. Namun begitu kesemua vaksin ini tidak dikeluarkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mohd Suhaimi menekankan imunisasi merupakan kaedah pencegahan penyakit berjangkit yang mudah, berkesan dan penerima vaksin bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga dapat melindungi orang lain serta ini akan mewujudkan masyarakat yang lebih sihat.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 735

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024