USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DATUK PROFESOR DR. ASMA ISMAIL, NAIB CANSELOR BAHARU USM

14432944 10210522302878211 149723599144862672 n

PULAU PINANG, 30 September 2016 – Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Profesor Dr. Asma Ismail dilantik sebagai Naib Canselor baharu USM bermula Selasa, 4 Oktober 2016 selama 3 tahun menggantikan Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang menjawat jawatan tersebut sejak 27 September 2011.

Pengumumannya dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh semalam.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan mengalu-alukan pengumuman tersebut dan berharap agar Asma dapat meneruskan agenda APEX USM dalam memacu kecemerlangan universiti tersebut.

“Saya dan semua ahli Lembaga Gabenor mengalu-alukan pelantikan tersebut dan akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama untuk memastikan beliau dapat memimpin dan membawa USM sebagai sebuah universiti tersohor negara dan dunia,” kata Zulkefli.

Tambahnya lagi, beliau dan seluruh ahli Lembaga Gabenor juga merakamkan penghargaan kepada Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang bekerja keras untuk meneruskan kecemerlangan universiti sebagai sebuah universiti yang menerajui Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) dan memulakan pembangunan APEX 2020.

Omar adalah Profesor dalam bidang Pengurusan Projek dan Kelestarian di Pusat Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM.

Asma mempunyai kepakaran dalam bidang Mikrobiologi Perubatan serta “Medical Biotechnology and Rapid Diagnostics of Infectious Diseases” mula menerajui Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi pada 1 Jun 2014. Sebelum itu beliau adalah Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sejak Disember 2012.

Asma juga adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM pada tahun 2008 dengan meletakkan banyak pencapaian besar USM dalam pelbagai bidang Penyelidikan dan Inovasi.

Beliau mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyelidikan apatah lagi apabila menjadi pengasas dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (Institute for Research in Molecular Medicine), sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bertempat di USM sejak tahun 2003.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Jabatan Mikrobiologi Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM pada tahun 1986 dan menjadi profesor pelawat dan felo pelawat di pelbagai universiti terkemuka dunia seperti University of Tokyo, Jepun dan St. Bartholomew’s Hospital London.

Asma mendapat pendidikan tinggi dari University of Nevada, Reno Amerika Syarikat dengan mendapat kepujian dalam bidang biologi, meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Mikrobiologi dari Indiana University Bloomington Amerika Syarikat dan Ph.D dalam bidang Biologi Selular dan Molekul (Cellular and Molecular Biology) dari University of Nevada, Reno Amerika Syarikat.

Asma juga terkenal dengan pelbagai produk penyelidikan yang berjaya dikomersilkan dengan geran bernilai lebih daripada RM19 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, membentangkan lebih 340 kertas persidangan dan memberikan ucap utama dalam pelbagai penemuan saintifik di seluruh dunia.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2075

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024